Prihatin, bantu golongan susah

Prihatin, bantu golongan susah

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 22 April – Sejarah hidupnya yang pernah hidup susah menjadi dorongan kepada seorang ahli perniagaan berjaya untuk melibatkan diri dalam pelbagai projek membantu masyarakat yang memerlukan.

Pengarah AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd, Chai Yum Fatt, 61, semasa ditemui Media Permata, hari ini, memberitahu bahawa beliau merancang untuk meneruskan projek membantu masyarakat yang memerlukan dan warga emas dengan menubuhkan dana kebajikan di syarikatnya dalam masa yang terdekat.

Beliau yang sebelum ini pernah ditauliahkan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi sesi 2014 hingga 2016, juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi PBSM pada awal penglibatannya dengan persatuan tersebut bagi sesi 2010 hingga 2012.

Bagaimanapun, beliau yang begitu aktif mengendalikan dan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan dan lainnya di sepanjang penglibatannya sebagai pemimpin di PBSM cawangan Belait dan juga pusat, semalam, telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada terus menjadi ahli PBSM atas alasan peribadinya.

Chai Yum Fatt pernah bekerjasama rapat dengan JAPEM dalam program membantu golongan warga emas di Daerah Belait.
Chai Yum Fatt pernah bekerjasama rapat dengan JAPEM dalam program membantu golongan warga emas di Daerah Belait.

Chai Yum Fatt, turut menafikan sumber mengatakan bahawa beliau tidak lagi berminat dalam projek kemasyarakatan kebelakangan ini, dengan menjelaskan bahawa keputusan untuk berundur itu diambil sebab kesibukan perniagaan yang dijalankannya dan juga perkara membabitkan urusan Pusat Pembekal Satu Hentian yang dijangka akan mula beroperasi tidak lama lagi di kawasan Pertanian Betumpu, Kampung Bengkurong Masin, Daerah Brunei dan Muara.

“Saya tidak akan dapat lari daripada membantu masyarakat yang memerlukan, kerana sejarah hidup saya juga pada awalnya pernah hidup susah, dan saya memahami keadaan mereka yang memerlukan bantuan.

“Selain membantu masyarakat, saya juga berhasrat untuk terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam membantu peladang tempatan,” ujar beliau yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang pertanian dan tidak pelas mengalami ‘rebah bangun’ dalam perusahaannya.

Beliau juga memberitahu, dalam sedikit masa lagi, beliau akan memulakan semula aktiviti program kemasyarakatannya dan akan menemui jabatan-jabatan yang pernah memberikan kerjasama kepadanya sebelum ini.

“Saya akan mengadakan aktiviti-aktiviti amal yang boleh membantu kalangan warga emas, kanak-kanak istimewa, anak-anak yatim serta masyarakat memerlukan, semoga syarikat saya akan terus berkembang dan saya akan dapat terus memberikan khidmat kemasyarakatan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan bersama Media Permata.

Sepanjang berada dalam PBSM, Chai Yum Fatt, banyak melibatkan diri menggerakkan ahli-ahli jawatankuasa yang lain untuk sentiasa turun padang memberikan kerjasama dengan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dalam Projek Penghijauan malah beliau juga menghulurkan sumbangan menaja baja-baja dan racun-racun serangga dalam projek tersebut.

Selain itu, beliau juga aktif turun padang bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Belait bagi membuat penyelidikan mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan serta mengendalikan aktiviti-aktiviti bersama JAPEM dalam memeduli kalangan warga emas.

Tidak ketinggalan, beliau juga memberikan sokongan dalam pengendalian Program Latihan Pertolongan Cemas dan pernah terlibat bekerjasama dengan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan juga Jabatan Daerah serta Jabatan Pertanian dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA