Prihatin kebajikan keluarga

Prihatin kebajikan keluarga

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Sebanyak 12 buah keluarga telah menerima derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda berupa wang tunai berjumlah $29,600 menerusi Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Hadir menyempurnakan sumbangan-sumbangan derma itu ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Keluarga yang menerima derma tersebut terdiri daripada dua buah keluarga yang terlibat dalam musibah rumah roboh dan 10 keluarga lagi terlibat dalam kejadian kebakaran rumah, baru-baru ini.

Salah seorang penerima, Dayang Siti Norhijjah binti Haji Ahmad, yang merupakan juruteknik makmal di Universiti Brunei Darussalam ketika ditemu bual Media Permata mengucapkan rasa bersyukur dan menjunjung kasih atas sumbangan derma yang diberikan.

Haji Brahim menyampaikan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Brahim menyampaikan derma kepada salah seorang penerima.

Keluarga Dayang Siti Norhijjah merupakan antara yang terlibat dalam kebakaran di Flat Kampung Anggerek Desa pada 3 Ogos yang lalu, di mana dua orang anak beliau, Dayang Nurul Qistina Ramadhani, 5, dan Dayang Nurul Delisha Salsabila, 3, mengalami luka melecur dan menerima rawatan rapi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

“Alhamdulillah, sehingga kini kedua-dua anak saya berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan rapi. Kami suami isteri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak hospital kerana memberikan yang terbaik dan seterusnya mengucap ribuan terima kasih kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan, ahli persendirian dan pihak kerajaan kerana telah memberi bantuan serta sumbangan untuk meringankan beban seharian,” ujar Dayang Siti Norhijjah dengan penuh rasa syukur.

Sumbangan derma ini adalah sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda Sultan kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

Salah satu tujuan penubuhan Yayasan dalam bidang kebajikan ialah memberikan pemedulian dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah bencana rumah roboh dan kebakaran rumah.

Bantuan ini dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Penerima-penerima lain yang menerima sumbangan ialah keluarga Awang Kifli bin Matusin, dan Dayang Norizahyanie binti Selasa yang menjadi mangsa rumah roboh di Kampung Lurong Dalam, Hajah Paramah, Awang Mohamad Zulaini, Dayang Noraini, Dayang Ajiah dan Awang Rahimannissmah iaitu mangsa kebakaran di Kampung Jaya Setia Perpindahan Berakas, Dayang Siti Norhijjah binti Haji Ahmad, mangsa kebakaran di Flat Anggerek Desa, Hajah Hajijah, mangsa kebakaran Kampung Mulaut Kilanas, Awang Mohammad Amirruddin dan Dayang Marryna mangsa kebakaran Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait dan Awang Nooredham mangsa kebakaran di RPN Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA