Prihatin

Prihatin

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Kisah seorang balu yang menyayat hati iaitu Dayangku Sinah binti Pengiran Mohd Karim yang disiarkan dalam Media Permata keluaran Rabu, 9 Mac, baru-baru ini, telah mendapat perhatian Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Sehubungan dengan itu, MUIB melalui Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat telah mengambil langkah segera dengan menyiasat serta berjumpa sendiri Dayangku Sinah di alamat No.29 Simpang 4, Jalan Kalajiau, Rancangan Perumahan Negara Kampung Panaga Seria untuk bertanyakan dengan lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapi oleh beliau.

Menurut kenyataan KHEU, hasil daripada laporan siasatan dan perjumpaan tersebut, pihak MUIB dengan serta-merta telah meluluskan agihan wang zakat berupa kewangan bulanan dan asasi yang diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir dan Miskin.

Dayangku Sinah ketika dikunjungi oleh kakitangan MUIB di kediaman beliau.
Dayangku Sinah ketika dikunjungi oleh kakitangan MUIB di kediaman beliau.

Dalam pada itu, pihak KHEU mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas perkongsian maklumat-maklumat mengenai masyarakat yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan di negara ini seperti yang menimpa Dayangku Sinah.

Kisah Dayangku Sinah pada mulanya tersebar melalui media sosial selepas beliau merayu bantuan untuk meringankan bebanan keluarganya dan wartawan Media Permata pula mendapatkan pengesahan daripada beliau secara langsung pada 8 Mac lalu.

ARTIKEL YANG SAMA