Primajaya temui penonton hari ini

Primajaya temui penonton hari ini

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Filem tempatan adiwira pertama Negara Brunei Darussalam, ‘Primajaya’ arahan Adam Groves terbitan Visual Dimensions Production bakal menemui peminat setelah tayangannya dilancarkan di Times Cineplex Empire, Jerudong, hari ini.

Majlis pelancaran yang dihadiri oleh kru-kru dan para pelakon bersama para penaja dan media tempatan ini telah disempurnakan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Haji Mohd Suffian bin Haji Bungsu.

Majlis ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan Visual Dimensions Production kepada mereka yang sama-sama menjayakan filem yang dijayakan dengan kos kira-kira $5,000 sebagai perbelanjaan kelengkapan (props) dan makan minum para pelakon dan krew yang terlibat sepanjang musim penggambaran.

Barisan pelakon utama Primajaya ialah Hazim Hamzah, Aliff Ali, Deewi Hamdilah, Jonathan Chen dan Kenny Yong.

Barisan kru yang sama-sama menjayakan filem ini sepanjang penggambaran yang dilaksanakan kira-kira setahun enam bulan bermula tahun 2014 ialah Penerbit, lmelda Groves; Pengurus Produksi Anwar Rosly; Penolong Jurukamera, Maya Maryam; Juru Dandan dan Pakaian, Susy Groves; Jurukamera, Seng Yee dan Penata Suara, Andy James Butcher.

Antara jemputan yang hadir semasa pelancaran Filem ‘Primajaya’.
Antara jemputan yang hadir semasa pelancaran Filem ‘Primajaya’.
Pengarah RTB bersama Adam Groves ketika melancarkan Filem ‘Primajaya’.
Pengarah RTB bersama Adam Groves ketika melancarkan Filem ‘Primajaya’.

Primajaya mengisahkan tentang Zack, seorang belia penggemar komik yang juga pekerja restoran yang tinggal di tempat fiksyen Primajaya, sebuah kawasan mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

Keputusan Zack untuk membantu mengurangkan kadar jenayah di Primajaya tidak disambut baik oleh masyarakat setempat sehingga beliau digelar ‘Bahlol’ sejurus selepas video tindakannya tersebar di media sosial.

Keadaan menjadi genting apabila ketua pengedar dadah di Primajaya mendapat tahu bahawa Zack merupakan punca kerugian yang dialaminya sejak akhir-akhir ini.

Filem genre aksi dan komedi ini adalah terbitan pertama Visual Dimensions Production yang diarahkan oleh Adam Groves selaku pemilik syarikat. Skrip dan layar filem ini juga dihasilkan oleh Adam Groves sendiri termasuk penyuntingan.

Tayangan rasminya esok, 15 September akan diadakan serentak di semua cawangan Times Cineplex di tiga daerah (Times Cineplex Times Square, Times Cineplex Tutong, Times Cineplex KB Sentral dan Times Cineplex Empire).

Visual Dimensions Production ingin menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada para penaja yang terdiri daripada Setia Motors Sdn Bhd (Hyundai), Aewon Sdn Bhd, Printmartz Advertising, Gadget Plus, CarQuest, RYs Entertaiment, The Coffee Bean & Tea Leaf dan Baker Blush.

Tidak ketinggalan juga kepada sokongan yang diberikan oleh Regalblue Production, Digimage Production, Brunei Vines Video, Pusat Membeli-belah Times Square, Pusat Membeli-belah KBSentral, Pusat Membeli-belah FreshCo dan Times Cineplex.

ARTIKEL YANG SAMA