Prinsip kerja...

Prinsip kerjasama penting dalam koperasi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Prinsip kerjasama dalam kalangan koperasi-koperasi adalah amat penting kerana menerusi kerjasama itu, pelbagai bidang yang diceburi boleh mencapai kejayaan.

Salah satu contoh kerjasama dalam kalangan koperasi adalah penubuhan sebuah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pengedaran dan Pemasaran (4P) di mana penubuhan pusat itu nanti akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta faedah kepada koperasi-koperasi.

“Salah satu daripadanya adalah apa yang kita pelajari dalam kursus ini berkaitan dengan zero waste atau tanpa sisa di mana koperasi boleh mengeluarkan produknya sendiri iaitu baja kompos / organik berasaskan sisa bahan buangan pertanian.”

Harapan itu disuarakan oleh salah seorang ahli koperasi dan peserta program latihan, Haji Amat bin Haji Anggas di Majlis Penutup Program Latihan Pemprosesan Buah-buahan Koperasi-koperasi Pertanian yang berlangsung di Auditorium iCentre, Anggerek Desa, Berakas, hari ini.

Beliau percaya produk itu dapat menampung keperluan baja kepada ahli-ahli koperasi dan pada masa yang sama, dapat mengurangkan kos pengeluaran para ahli koperasi.

Haji Amat menekankan prinsip kerjasama di kalangan koperasi amat penting kerana menerusi kerjasama itu, pelbagai bidang yang diceburi akan dapat mencapai kejayaan.
Haji Amat menekankan prinsip kerjasama di kalangan koperasi amat penting kerana menerusi kerjasama itu, pelbagai bidang yang diceburi akan dapat mencapai kejayaan.

Selain itu, beliau juga percaya produk itu mempunyai masa depan yang cerah untuk dikomersialkan atau dikembangkan bagi kegunaan para peladang seluruh negara.

“Dalam erti kata lain, kita dapat mengurangkan nilai import baja bagi mengurangkan kebergantungan baja import sepenuhnya dari luar negara.

Mengulas lanjut mengenai prinsip kerjasama itu, Haji Amat berkata, ia bukan hanya bagi menubuhkan sebuah koperasi menengah tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih luas dalam dunia perniagaan termasuk untuk membina jaringan dan rangkaian perniagaan dalam kalangan koperasi.

“Jaringan dan rangkaian atau kerjasama dalam koperasi harus dijalin dengan sikap jujur, amanah, berdedikasi, bertanggungjawab serta komited dan saling percaya-mempercayai sesama kita,” tambahnya.

Haji Amat menjelaskan lanjut, “Kerana pembangunan, kemajuan dan kejayaan koperasi itu adalah di tangan kita sebagai ahli serta pemimpin yang terlibat secara langsung dalam mengatur setiap langkah serta strategi perniagaan agar ia tidak tergelincir dari landasannya.”

Beliau berkata lagi bahawa kekuatan sesebuah perniagaan ialah ilmu pengetahuan di mana tanpa ilmu itu, mereka akan ketinggalan dalam mengejar impian.

“Akan tetapi walau setinggi mana atau sebanyak mana ilmu itu yang kita perolehi atau pelajari kalau tidak diamalkan, ia ibarat sepohon pokok yang rendang tapi tidak berbuah,” tekannya lagi.