Pro-Palestin kerah Israel dikeluarkan dari FIFA

Pro-Palestin kerah Israel dikeluarkan dari FIFA

ZURICH, 29 Mei (AFP) – Sekumpulan penunjuk perasaan pro Palestin seketika mengganggu Kongres FIFA hari ini ketika badan pentadbiran badan bola sepak dunia menetapkan pengundian di kemudian hari sama ada untuk mengusir Israel dari organisasi tersebut.

Dua orang penunjuk perasaan wanita menghentikan seketika ucapan alu-aluan Presiden Sepp Blatter, melambai kad merah kepada perwakilan FIFA sambil melaungkan “Israel Out!” sebelum diusung keluar dari dewan oleh pengawal keselamatan.

Sekumpulan kira-kira 150 orang pro-Palestin telah berkumpul di luar Zurich Hallenstadion sambil bernyanyi sebelum kongres bermula.

Blatter memohon maaf ke atas penundaan seketika beberapa minit tersebut dan mengerah pengawal keselamatan bangunan supaya lebih berjaga-jaga.

Palestin yang merupakan ahli FIFA sejak 1998, mahukan badan pemerintah supaya Israel dikeluarkan atas sekatan mereka ke atas pergerakan pemain Palestin. Israel juga menentang penyertaan lima kelab yang berada di penempatan Yahudi untuk menyertai kejohanan Bola Sepak Israel.

Penunjuk perasaan Pro-Palestin ketika dibawa keluar ketika Kongres berlangsung. - AFP
Penunjuk perasaan Pro-Palestin ketika dibawa keluar ketika Kongres berlangsung. – AFP

Undian yang dijadualkan itu memerlukan majoriti dua pertiga undi daripada 209 ahli untuk berjaya.

Para pemimpin FIFA telah bekerja keras di belakang tabir untuk lebih awal memulakan pengundian dan minggu lalu Blatter juga pergi ke Israel dan Palestin untuk mencari jalan penyelesaian.

Sebelum penunjuk perasaan memulakan langkah mereka, Blatter telah disarankan untuk “berdisiplin dan main secara adil” daripada perwakilan FIFA yang berhasrat untuk menyelesaikan isu ini.