Proaktif bina pertahanan ekonomi

Proaktif bina pertahanan ekonomi

PUTRAJAYA, 2 Nov (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah proaktif kerajaan membina pertahanan ekonomi negara termasuk melalui pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi membolehkan ia dikembalikan kepada rakyat dalam Bajet 2016.

Beliau berkata faktor luaran seperti ketidaktentuan terhadap ekonomi global, penguncupan ekonomi khususnya China, kadar faedah Amerika Syarikat dan kejatuhan ketara harga minyak menyebabkan hasil negara berkurangan daripada sektor minyak dan gas sebanyak RM30 bilion.

Dalam situasi sedemikian seperti yang berlaku pada krisis kewangan Asia pada 1997, perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan mengurus dikurangkan.

“Kita dapat laksanakan (program-program) sebab kita mengambil langkah proaktif dan membuat pertimbangan tepat.

“Apabila kita perkenalkan langkah rasionalisasi subsidi dan GST, apa yang kita janjikan, kita pulangkan kepada rakyat,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini Isnin.

Najib meninggalkan perkarangan Bangunan Perdana Putra sejurus selesai menyampaikan ucapan pada perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini. – Bernama
Najib meninggalkan perkarangan Bangunan Perdana Putra sejurus selesai menyampaikan ucapan pada perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini. – Bernama

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2016 bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ pada 23 Okt lepas.

Pada perhimpunan bulanan berkenaan, Najib menggariskan lima tunjang utama yang terkandung dalam Bajet 2016 iaitu untuk memperteguh ketahanan ekonomi negara; bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau; mempersiaga modal insan; memperkasakan agenda bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat.

Najib menyeru kepada semua penjawat awam di semua kementerian dan agensi berkaitan melaksanakan tugas dengan memasukkan lima tunjang utama itu.

Dalam Bajet 2016, Najib mengumumkan pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam manakala 700,000 pesara kerajaan akan menerima bayaran khas RM250.