Proaktif, jangan ambil mudah

Proaktif, jangan ambil mudah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda menegaskan, semua pihak perlu bersikap proaktif dan mengubah minda masing-masing untuk tidak mengamalkan sikap ‘business as usual’ bagi memastikan pengendalian acara perayaan tahun ini lebih kreatif.

“Ini termasuk juga ahli jawatankuasa di peringkat daerah yang mana kita dikehendaki menggembleng sumber dengan optimum selagi mana kesempurnaan dan suasana keunikan dapat dihidupkan bersama,” sabdanya.

Duli Yang Teramat Mulia selaku Penaung Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan hari ini bersabda pada Mesyuarat ke-3 Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-70 tahun yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Menteri Besar.

Pada mesyuarat itu, Duli Yang Teramat Mulia menjunjung kasih setingginya atas keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke mesyuarat yang diadakan pada 25 April lalu serta menyifatkan keberangkatan Baginda itu sebagai manifestasi kepada sikap pemedulian dan keprihatinan Baginda.

Duli Yang Teramat Mulia juga menekankan, adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Kebangsaan untuk mengambil perhatian dan tindakan terhadap inti pati titah Baginda melalui inisiatif, tindakan dan usaha penambahbaikan yang bersesuaian.

Duli Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat ke mesyuarat berkenaan.
Duli Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat ke mesyuarat berkenaan.

“Apa yang lebih utama dan penting ialah kesan langsung kepada memperkukuhkan keakraban yang sedia terjalin antara seorang raja dengan rakyatnya.

“Baginda juga telah memperkenankan bagi tarikh istiadat, upacara dan acara utama bagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70,” sabdanya lagi.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, yang penting sekarang ialah bagi Jawatankuasa terlibat meneruskan kerjasama dan komitmen dalam sama-sama membuat persediaan bagi memastikan semua acara sambutan perayaan tahun ini berjalan dengan sempurna, lancar dan teratur.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya percaya dengan kesepakatan dan kesepaduan semua pihak, acara Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda akan menjadi wadah dalam memantapkan lagi keharmonian bernegara melalui jalinan akrab di antara raja dan rakyat jelata.

Di samping menerapkan semangat patriotik, kasih serta setia kepada raja, cintakan tanah air serta bersatu padu dalam memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan buah fikiran, tenaga, usaha dan masa kepada Jawatankuasa Kebangsaan, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Peringkat Daerah, Jawatankuasa Kerja dan semua pihak yang terlibat dalam pengendalian acara sambutan perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda pada tahun lepas atas kejayaan dan kesempurnaan setiap acara yang diadakan.

“Berkat komitmen, ketekunan serta permuafakatan dan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan perancangan yang telah disusun rapi itu, Insya Allah sambutan perayaan akan berjalan dengan penuh teratur,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

ARTIKEL YANG SAMA