Produk 1K1P ke Ekspo ASEAN

Produk 1K1P ke Ekspo ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Produk-produk di bawah program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) perlu mencari pendekatan lain untuk bersaing dengan produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara asing di rantau ASEAN.

Produk-produk yang dihasilkan harus dilihat dari segi keunikan atau kualiti produk berkenaan kerana memang sukar bagi produk 1K1P yang dihasilkan di Brunei untuk bersaing dengan produk-produk dari negara ASEAN lain jika ia hanya dari segi kuantiti atau harga sahaja.

Oleh itu, pendekatan baru dan penyertaan peserta-peserta 1K1P di Ekspo Produk Komuniti (OTOP/OVOP) Serantau ASEAN bukan sahaja dapat memberikan pendedahan mengenai produk yang dihasilkan oleh masyarakat Brunei tetapi dapat mencetuskan idea baru bagi meneroka perusahaan produk atau perkhidmatan yang baru di Brunei.

Perkara itu dinyatakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas, Jabatan Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya dalam temu bual bersama Media Permata di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Haji Haizul Rizal juga mengetuai rombongan seramai lima orang termasuk empat pengusaha terpilih dari keempat-empat daerah untuk menyertai Ekspo Produk Komuniti Serantau ASEAN yang berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 16 Ogos.

Haji Haizul Rizal bersama-sama empat pengusaha tempatan 1K1P yang menyertai Ekspo Produk Komuniti Serantau ASEAN di Bangkok, Thailand.
Haji Haizul Rizal bersama-sama empat pengusaha tempatan 1K1P yang menyertai Ekspo Produk Komuniti Serantau ASEAN di Bangkok, Thailand.

Menurutnya lagi, penyertaan kali pertama rombongan Brunei di ekspo itu merupakan permulaan bagi lebih banyak peserta-peserta 1K1P dari keempat-empat daerah di masa akan datang untuk mengetengahkan, memperkenalkan dan menjalinkan rangkaian perusahaan dengan para pengusaha komuniti lain di negara-negara ASEAN.

Beliau berkata ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi semasa penyertaan di ekspo itu diharap akan dapat dimanfaatkan oleh kesemua peserta Brunei dan mengongsikannya bersama peserta 1K1P yang lain di Brunei nanti.

Mengulas mengenai produk Brunei di ekspo itu, beliau berkata bahawa produk yang diketengahkan oleh setiap peserta adalah berbeza dan diharap akan dapat menarik minat pengunjung ke ekspo berkenaan.

Beliau berkata harapan utama adalah untuk melihat setakat mana produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan dapat bersaing dari segi kualiti dengan produk-produk luar kerana jika dari sudut harga sahaja, mungkin produk Brunei tidak mampu menandingi produk dari negara-negara ASEAN yang lain terutama dengan harga bahan mentah yang berlainan.

Pengusaha-pengusaha yang menyertai rombongan Brunei ke ekspo itu ialah Awang Abu Samah bin Haji Damit dari Majlis Perundingan Kampung Sengkurong A, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim dari Majlis Perundingan Kampung Tanjong Maya, Dayang Hensona Anak Munah dari Majlis Perundingan Kampung Labi II dan Dayang Rambai binti Haji Damit dari Majlis Perundingan Kampung Senukoh.

Hajah Hasnah ketika ditemu bual, menyatakan harapan penyertaan mereka dalam ekspo itu untuk melihat sendiri produk-produk yang dihasilkan oleh para peserta ASEAN yang lain serta membandingkannya dengan produk yang dihasilkannya agar dapat dikembang majukan lagi bagi meningkatkan kualiti produknya.

Beliau yang menghasilkan variasi produk minyak kelapa dara juga berharap dapat mempelajari kaedah baru atau menerokai lagi produk yang dihasilkannya bagi mempelbagaikan jumlah produk yang ada di pasaran.

Manakala itu, Dayang Rambai yang menghasilkan produk mi kuning Senukoh juga menyatakan harapan untuk melihat sendiri produk-produk yang dihasilkan oleh peserta dari negara ASEAN yang lain dan mempelajari daripada mereka kaedah yang lebih efektif untuk meningkatkan mutu atau kualiti produk.

Beliau juga berharap untuk mempelajari kaedah bagi menghasilkan produk baru seperti menghasilkan mi kolo bagi memperbanyakkan lagi jenis mi yang dihasilkannya kerana pada masa ini, beliau hanya menghasilkan mi kuning basah dan kering.

Semasa ekspo itu nanti, para peserta negara bersama-sama peserta dari negara ASEAN yang lain akan melawat dan menginap di kampung pelancongan 1K1P Thailand serta mengambil bahagian dengan menyertai bengkel dan lawatan sambil belajar mengenai produk kebudayaan 1K1P yang dilaksanakan oleh Thailand.

Ekspo dan bengkel selama kira-kira sembilan hari itu dihasratkan untuk menggalakkan pertukaran dan perkongsian pengalaman serta ilmu pengetahuan bagi membangunkan produk komuniti negara-negara ASEAN, memberikan peluang bagi OTOP/OVOP dari negara-negara ASEAN untuk memasarkan produk mereka, mewujudkan satu rangkaian pengeluar tempatan dan usahawan OTOP/OVOP di komuniti ASEAN serta untuk menggalakkan perdagangan dan kerjasama pembangunan antara negara-negara ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA