Produk baru, teknologi futuristik

Produk baru, teknologi futuristik

FRANKFURT, 11 Sept (AFP) – Model mesra alam dan teknologi futuristik seperti pemanduan automatik dijangka memukau orang ramai pada pameran kereta IAA di Frankfurt pada minggu depan, walaupun jualan lembap di China mungkin menyurami permintaan yang berpulih di Eropah, kata penganalisis.

Ratusan ribu pelawat dijangka mengunjungi dewan pameran pesta perdagangan Frankfurt dari 19-27 September untuk melihat model terbaru dan inovasi teknologi tinggi.

Media dunia akan mendapat pratonton tidak rasmi Pameran Kereta Antarabangsa selama dua hari bermula pada Selasa, yang diadakan setiap dua tahun, bersilih ganti dengan pameran kereta di Paris.

Penganjur, persatuan pengeluar kereta Jerman VDA, berkata pameran 2015 menjanjikan 210 pertunjukan perdana dunia dan “pameran inovasi menakjubkan” daripada 1,100 peserta pameran dari 39 buah negara, dalam ruang sebesar 33 padang bola sepak.

“Suasana pasti baik, dengan banyak produk baru dan idea baru,” kata penganalisis EY Peter Fuss.

Bentley Flying Spur (kiri), Range Rover (tengah) dan Rolls-Royce Dawn (kanan) yang dipamerkan di London pada 10 September, ketika Komuniti Pengilang dan Pedagang Motor Britain (SMMT) mempromosi industri auto Britain menjelang Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt. – AFP
Bentley Flying Spur (kiri), Range Rover (tengah) dan Rolls-Royce Dawn (kanan) yang dipamerkan di London pada 10 September, ketika Komuniti Pengilang dan Pedagang Motor Britain (SMMT) mempromosi industri auto Britain menjelang Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt. – AFP

Dalam kelas pasaran besar-besaran yang dikuasai oleh Golf Volkswagen, Megane 4 Renault dan Astra 5 Opel akan bersaing untuk mendapatkan perhatian.

Pengeluar kereta Perancis itu akan melancarkan versi baru Talisman, sementara pengeluar Jerman Audi akan memperkenalkan generasi A4 akan datang.

Namun kenderaan pacuan yang mungkin menarik tumpuan pengguna, dengan Volkswagen dan Ford memperkenalkan model yang lebih mampu seperti Tiguan dan Edge, sementara Jaguar akan mempamerkan model mewah F-Pace dan Bentley model Bentayga.

Bagi mereka yang tidak suka model yang menggunakan banyak minyak, terdapat model yang mesra alam, terutamanya untuk menarik pemandu di Eropah, yang telahpun mempunyai sasaran pengeluaran karbon dioksida pengangkutan paling ketat di dunia dan mungkin melihat mereka diperketatkan lagi pada sidang kemuncak COP21 di Paris pada Disember.

Toyota telah memilih Frankfurt untuk melancarkan generasi keempat model hibridnya, Prius. BMW juga akan memperkenalkan model yang menggabung enjin elektrik dan petrol.

Satu lagi tumpuan utama pada IAA tahun ini adalah teknologi baru yang menarik seperti pemanduan automatik, kata Elmar Kades, pakar kereta di AlixPartners.

Untuk kali pertama, kira-kira 30,000 meter persegi ruang lantai pameran akan diberikan kepada mobiliti baru, daripada yang mempunyai sambungan kepada kereta pemanduan sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA