Produk inovasi TUDM terima pengiktirafan

Produk inovasi TUDM terima pengiktirafan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Produk inovasi dinamakan ‘Test Panel for Bomb Rack’ ciptaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini memperoleh pengiktirafan paten inovasi daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Panel ujian itu merupakan peralatan yang dicipta khusus bagi memastikan tahap kebaikan peralatan “Bomb Rack” (tempat meletakkan peralatan bom) sebelum ia dipasang pada pesawat pejuang.

Ia sekali gus, dapat menjimatkan masa dan tenaga anggota. Panel ujian itu untuk digunakan pada BD3/MBD3 Bomb Rack bagi pesawat Sukhoi-SU30 MKM.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Datuk Seri Roslan Saad berkata kejayaan mendapatkan pengiktirafan paten itu merupakan satu inisiatif dan pemangkin untuk semua jurutera TUDM mencapai kejayaan yang lebih membanggakan.

“Untuk mendapatkan pengiktirafan ini bukanlah satu proses yang mudah… ia memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum proses pendokumentasian yang terperinci direkodkan.

“Ini sekali gus mendedahkan para jurutera kepada satu pengalaman yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil paten daripada Ketua Pengarah MyIPO, Shamsiah Kamaruddin di Markas Tentera Udara di sini.

Roslan berkata panel ujian ini juga telah memenangi beberapa anugerah antaranya mendapat tempat pertama di peringkat Anugerah Inovasi TUDM (AITUDM) pada 2010 dan tempat kedua Anugerah Inovasi peringkat Kementerian Pertahanan pada 2011 dalam kategori Inovasi Sistem Teknikal.

Pada Januari 2013, TUDM telah menghantar satu dokumen berkenaan panel ujian itu untuk dipatenkan oleh MyIPO dan selepas dua tahun, pada 9 Julai tahun ini, TUDM mendapat sijil setelah melepasi pemeriksaan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.