Produk Kobe Steel diragui

TOKYO, 11 Okt – Para pengeluar automobil utama di Jepun hari ini berkata mereka bergegas-gegas untuk menaksir kenderaan mereka yang menggunakan produk dari Kobe Steel yang mengakui telah memalsukan data kualiti dalam skandal yang semakin besar.

Toyota, NIssan, Honda, Mitsubishi Motor, Subaru dan Mazda telah menyertai firma-firma penerbangan dan kontraktor pertahanan Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries dan IHI yang telah menggunakan produk pengeluar keluli itu.

Kereta api laju Jepun ‘Shinkansen’ juga menggunakan aluminium Kobe Steel seperti juga kereta api laju di Britain, menurut firma kejuruteraan Hitachi.

“Produk-produk yang digunakan bagi kereta api Jepun dan Britain memenuhi piawaian keselamatan. Tetapi ia tidak memenuhi spesifikasi yang kami persetujui

antara kami dan Kobe Streel,” seorang jurucakap Hitachi memberitahu AFP. Jurucakap Honda Tamon Kusakabe memberitahu AFP “Tentang keselamatan, kami masih mengkaji kemungkinan impak.”

“Pada tahap ini, kami tidak melihat masalah kritikal kerana kami mempunyai pemeriksaan keselamatan sendiri ke atas bahan yang kami gunakan. Namun kami masih menyiasat dan terawal untuk mengatakan jika penarikan kembali akan perlu atau tidak, ujarnya.

Syarikat terkemuka automobil itu telah mengatakan Kobe Steel telah membekalkan bahan-bahan kepada salah sebuah kilangnya di Jepun, yang menggunakannya untuk hud, pintu belakang dan bahagian sekitar kenderaan tertentu.

Kementerian industri telah menggesa Kobe Steel bekerjasama dengan pelanggan-pelanggannya yang terdiri dari pelbagai industri, untuk menjalankan analisis segera keselamatan.

Krisis yang semakin bergolak ini adalah terbaru dalam siri-siri kawalan kualiti dan skandal-skandal penyelenggaraan yang melanda perniagaan-perniagaan Jepun dalam tempoh tahun-tahun kebelakangan, yang menjejaskan reputasi kualiti negara. – AFP