Produk MPMK Tutong di Ekspo Jualan

Produk MPMK Tutong di Ekspo Jualan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Lima pengusaha yang mewakili Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Daerah Tutong mengikuti Jualan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan Hasil Kraf Tangan, Pertanian serta Pameran Jabatan Penjara anjuran Jabatan Penjara yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Mei ini di ruang legar, The Airport Mall, Berakas.

Mereka yang mengikuti jualan itu ialah Galeri 1K1P yang mempamerkan produk-produk MPMK Daerah Tutong, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai dengan mempamerkan produk rempah segera, Majlis Perundingan Mukim Tanjong Maya mempromosikan produk minyak kelapa dara dan madu kelulut, MPK Lamunin mempromosikan kuih penyaram dan makanan tempatan, serta MPK Merimbun mempromosikan anyaman dan kraf tangan.

Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas di Jabatan Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari selaku Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong, pameran ini merupakan satu peluang bagi Daerah Tutong dan wakil-wakil yang menyertai mempromosikan produk-produk mereka kepada orang ramai.

Selain itu, jualan 1K1P ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta-peserta pameran dan jualan, di mana mereka boleh berkenalan dan mengeratkan lagi kerjasama terutama dalam mempromosikan produk-produk kampung dan mukim serta bertukar-tukar pengalaman dan pendapat sesama mereka.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam turut hadir ke Galeri 1K1P di Ekspo Jualan, The Airport Mall, Berakas, petang kelmarin.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam turut hadir ke Galeri 1K1P di Ekspo Jualan, The Airport Mall, Berakas, petang kelmarin.
Antara produk-produk MPMK Daerah Tutong yang terdapat di Ekspo Jualan di The Airport Mall, Berakas.
Antara produk-produk MPMK Daerah Tutong yang terdapat di Ekspo Jualan di The Airport Mall, Berakas.

Dayang Siti Joriahati seterusnya menambah, melalui Jualan 1K1P ini, Jabatan Daerah Tutong telah membawa Galeri 1K1P bagi mengetahui lebih dekat lagi jualan produk-produk kampung yang dihasilkan oleh MPMK Daerah Tutong di samping penerangan ringkas mengenai aktiviti perekonomian penduduk Daerah Tutong dan fungsi Galeri 1K1P.

Ujarnya lagi, MPMK Daerah Tutong melalui Bahagian Institusi Mukim dan Kampung dengan kerjasama Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong akan melancarkan laman sesawang Destinasi Tutong iaitu www.tutongdestination.com bagi memudahkan orang ramai dan penduduk kampung mengetahui produk-produk kampung dan mukim di Daerah Tutong yang dijual melalui Galeri 1K1P.

Melalui laman sesawang ini, mereka selaku Badan Korporat Daerah Tutong cuma membantu membekalkan produk-produk kampung yang diperlukan.

Selain mempromosikan produk-produk kampung dan mukim Daerah Tutong, Galeri 1K1P juga mengadakan pameran-pameran untuk para pengunjung bagi mengenali lebih dekat Daerah Tutong dan menjadikan galeri 1K1P sebagai galeri emas di Daerah Tutong yang wajib dikunjungi orang ramai untuk mengetahui lebih dekat mengenai daerah berkenaan di mana terdapat lebih 30 tempat menarik dan lebih 50 produk kampung.

ARTIKEL YANG SAMA