Produk pelaburan Walton kini patuh syariah

Produk pelaburan Walton kini patuh syariah

SINGAPURA, 15 April (Bernama) – Penasihat dan Pakar Perundingan Syariah Kewangan Singapura mengesahkan produk pelaburan Walton Group of Companies adalah patuh syariah.

Walton, antara pengurus aset tanah utama Amerika Utara, mempunyai aset bernilai lebih C$5.1 bilion dengan hampir 41,200 hektar di bawah pentadbirannya dan lebih daripada 95,000 pelanggan di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Presiden Asia bagi Walton International Group, Gary Tom, berkata pengesahan syariah itu penting memandangkan sebahagian pelanggannya adalah beragama Islam.

“Mereka kini diberi jaminan bahawa produk pelaburan kami adalah patuh syariah,” katanya semasa majlis pengumuman berkenaan perkara itu di sini, Jumaat.

Tom berkata Walton berusaha mendapatkan pengesahan syariah bagi produk pelaburannya sejak awal tahun lepas.

Berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun dalam pembelian dan pentadbiran tanah, Tom berkata, Walton berada di kedudukan baik untuk mengenal pasti pelaburan yang dapat bertahan lama.

“Pendekatan kami terhadap penyelidikan, pembelian, pentadbiran, perancangan dan dalam beberapa kes, pembangunan aset hartanah di seluruh Amerika Utara, telah membolehkan kami menyasarkan tanah berlokasi strategik,” katanya.

Produk pelaburan Walton akan mempunyai kadar pulangan dalaman purata sebanyak 12.47 peratus bagi purata 8.45 tahun.