Produk R&...

Produk R&D jana pendapatan negara

Oleh Sakini Mohd Said

 

KUALA LUMPUR – Produk wanita ini dilihat kurang menarik. Apatah lagi, kalau hendak dibandingkan dengan rakan pempamer lain yang mengetengahkan pelbagai ciptaan inovasi sungguh hebat.

“Tidak tahu menjahit? Jangan risau, tanpa pergi kelas anda boleh mempelajari kemahiran menjahit dengan mudah menggunakan ‘smart gajet’,” kata Norulaini Mohd Ramly, 35, kepada Bernama tatkala menjelaskan keistimewaan produknya.

Agak menarik, apatah lagi kelas mempelajari kemahiran itu boleh dikatakan agak mahal. Ada yang mencecah lebih RM2,000, itu pun tidak semua teknik dan jahitan pakaian yang diajarkan.

Justeru, Norulaini yang juga Ketua Program Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti (KK), Temerloh, Pahang, telah mencetuskan inovasi kaedah mudah yang membolehkan sesiapa sahaja menjadi ‘tukang jahit’.

’Smart gajet’ ini meliputi beberapa kepingan blok untuk kolar baju kurung, plaket baju Melayu butang 3 dan butang 5, poket baju dan seluar, bahagian badan lelaki dan perempuan, skirt, lengan baju dan banyak lagi. Kepingan blok ini lengkap untuk sehelai pakaian.

Datuk Seri Panglima Madius Tangau (dua, kanan) mendengar penerangan oleh Pensyarah Fakulti Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Rahinah Ibrahim (kiri) mengenai kelebihan dan kebaikan mengguna ‘Putra Blok’ (batu blok) dalam sistem pembinaan pada majlis Temu Mesra Media sempena Tahun Pengkomersialan.
Datuk Seri Panglima Madius Tangau (dua, kanan) mendengar penerangan oleh Pensyarah Fakulti Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Rahinah Ibrahim (kiri) mengenai kelebihan dan kebaikan mengguna ‘Putra Blok’ (batu blok) dalam sistem pembinaan pada majlis Temu Mesra Media sempena Tahun Pengkomersialan.

“Ia dibuat menggunakan perspek iaitu kepingan plastik lutsinar yang keras dan licin permukaannya bagi memudahkan proses jahitan,” katanya yang ditemui pada Majlis Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 (MCY2016) baru-baru ini.

Atasi masalah

Idea menarik ini tercetus apabila melihat kesukaran anak didiknya untuk menghasilkan pakaian yang cantik dan selesa disebabkan kegagalan melakar pola baju.

Secara asasnya, pola amat diperlukan untuk menghasilkan sepasang baju. Ia adalah lakaran lukisan bentuk badan seseorang dengan melibatkan formula tertentu yang berkaitan ukuran dan penjahit sewajarnya mahir teknik berkenaan.

Sekiranya gagal, baju itu akan menggelebeh dan pemakai berasa tidak selesa.    “Sebelum memotong kain, tukang jahit akan melakar pola di atas kertas minyak dengan ukuran tertentu. Pola yang telah siap dilukis di atas kertas akan dipotong dan dikepilkan pula di atas kain.

“Selesai ini, baharulah boleh potong kain mengikut pola kertas minyak itu. Tetapi, dengan ‘smart gajet’ anda tidak perlu melakar pola. Hanya letakkan sahaja kepingan blok mengikut saiz tertentu, misalnya bahagian lengan dan anda sudah boleh potong dan jahit,” katanya.

Platform buat pencipta inovasi

“Inovasi ini akan memberi manfaat ramai orang. Kalau kita lihat hari ini, tempah pakaian agak mahal. Tetapi, kaedah ini akan menarik minat ramai untuk belajar menjahit sekali gus mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Dua produk lain inovasi Norulaini adalah ‘smart ruler’ yang memudahkan proses melukis pelbagai garisan jahitan dengan satu pembaris serta ‘smart pattern’ dan informasinya boleh diakses di Facebook – ‘smart ruler’.

Hasil ciptaan Norulaini ini menjadi antara produk inovasi yang dipamerkan pada majlis kemuncak MCY2016.

Pada majlis itu, sebanyak 150 produk/perkhidmatan sains dan teknologi yang dihasilkan oleh institusi penyelidikan dan universiti serta agensi pembangunan teknologi tempatan dipamerkan.

Antaranya ‘Quantrum Brake Pad’ iaitu pad brek mesra alam yang dicipta SIRIM (Bhd) dan ‘Deep Wound Management’, berfungsi mempercepatkan proses penyembuhan luka dengan menggalakkan penghasilan sel baharu.

Produk lain adalah dua produk forensik digital mampu milik yang dikenali sebagai Kloner dan Pen Dua yang dicipta oleh CyberSecurity Malaysia dan SimbionteA oleh SIRIM.

“MCY adalah platform terbaik untuk para penyelidik dan usahawan mengkomersialkan produk mereka,” kata Nourlaini.

Julung kali

MCY2016 yang julung kali diadakan tahun lepas adalah susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2016 yang mengisytiharkan tahun 2016 sebagai Tahun Pengkomersialan Malaysia.

Ia adalah inisiatif bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kewangan (MOF) yang bertujuan memupuk budaya keusahawanan, meningkatkan kesedaran pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta impaknya kepada pembangunan negara.

Dengan pengkomersialan produk R&D tempatan itu, produk inovatif berkualiti tinggi dapat dihasilkan yang dapat menembusi pasaran luar negara dan mewujudkan jenama Malaysia.

Justeru, bagi menjayakan MCY2016 setiap agensi yang terlibat penyelidikan telah diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang mewajibkan mereka mengkomersialkan sekurang-kurangnya lima produk inovasi memasuki pasaran tahun 2016.

“Majlis kemuncak MCY2016 adalah (hari yang dipilih) untuk mempamerkan segala kejayaan aktiviti pengkomersialan yang telah dilakukan sepanjang tahun ini,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.

Bertemakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Mencipta Kejayaan, sebanyak 150 produk yang dihasilkan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sedia untuk dikomersialkan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa tahun ini.

Kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM), Hafliza menunjukkan replika batu ‘Putra Blok’ pada majlis Temu Mesra Media sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 2 Disember lalu. Batu Putra Blok ini merupakan alternatif baru yang menggantikan batu blok yang lama, bagi memudahkan dan mempercepatkan proses sesuatu pembinaan. – Bernama
Kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM), Hafliza menunjukkan replika batu ‘Putra Blok’ pada majlis Temu Mesra Media sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 2 Disember lalu. Batu Putra Blok ini merupakan alternatif baru yang menggantikan batu blok yang lama, bagi memudahkan dan mempercepatkan proses sesuatu pembinaan. – Bernama

Produk inovatif itu antara yang dihasilkan oleh 25 organisasi, agensi dan institusi pengajian di bawah sembilan kementerian yang menguruskan R&D, bersempena MCY2016.

Jana pendapatan negara

Madius berkata aktiviti pengkomersialan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi bagi membolehkan pengguna sentiasa terdedah kepada teknologi baharu.

Menyedari kepentingan ini, kerajaan memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi berasaskan penjanaan inovasi termasuklah dalam menyediakan pelbagai dana/geran bagi menyokong setiap fasa pelaksanaan aktiviti R&D.

Bagaimanapun, sesuatu amat menyedihkan sekiranya duit rakyat yang digunakan bagi tujuan berkenaan tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti pencipta untuk mengkomersialkan hasil inovasi mereka.

“Satu daripada pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa kini adalah ilmu pengetahuan dan kos mendapatkan pendidikan, latihan dan R&D memerlukan pelaburan yang tinggi.

“Bagi merealisasikan manfaat ilmu dan menerima pulangan daripada pelaburan yang telah dibuat, hasil inovasi dan penciptaan perlu dikomersialkan bagi memastikan produk tersebut digunakan dan dimanfaatkan orang ramai,” katanya.

Justeru, inisiatif MCY2016 diharap dapat meningkatkan aktiviti inovasi serta membuka mata komuniti pencipta bahawa R&D adalah penjana kekayaan buat Negara melalui budaya pengkomersialan.

Pelbagai program dilaksanakan sepanjang tahun 2016 dalam menjayakan matlamat berkenaan. Hasilnya, sebanyak 123 daripada 150 produk telah berjaya dikomersialkan sehingga 25 Nov lepas (2016) dengan anggaran nilai hasil pengkomersialan sebanyak RM155 juta bersempena inisiatif MCY 2016.

Bantuan

Kejayaan ini direalisasikan menerusi model ‘triple helix’ iaitu kerjasama yang menghubungkan kerajaan, akademia dan industri melalui pelbagai aktiviti dan bantuan yang dijalankan sepanjang tahun lepas dalam menghubungkan komuniti pencipta dengan pelabur.

Ini termasuklah melengkapkan mereka dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan serta memahami keperluan industri, pengguna supaya produk yang dihasilkan mempunyai nilai di pasaran.

“Pelan jangka masa pendek kami adalah terus memantau dan membantu mengkomersialkan produk di bawah KPI Khas MCY dan memperkenalkan mereka kepada kelompok industri.

“Usaha akan diambil untuk menggalakkan antara lain, aktiviti campur tangan pengkomersialan termasuk pemadanan perniagaan dan sesi preview teknologi melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan venture kapitalis,” katanya.

Contohnya, MOSTI dengan kerjasama Usahawan 1Malaysia telah mengadakan program MCY Boot Camp pada Ogos lepas yang bertujuan membina dan mengenalpasti model perniagaan dan perancangan strategik untuk kemampanan setiap produk dalam pengkomersialan.

“Sehingga kini, MCY telah menjalankan 20 program yang melibatan penyertaan dari pelbagai pemain dalam landskap STI, industri dan modal teroka,” katanya.

Menariknya, peluang mendapatkan pelaburan bukan sahaja daripada insitusi pembiayaan negara tetapi kerajaan juga membantu menyediakan pelbagai platform agar teknologi tempatan berpeluang mendapatkan pelaburan dana asing.

Anugerah

Bagi mengiktiraf pencapaian hebat komuniti pencipta ini, majlis kemuncak MCY2016 turut diwarnai dengan penyampaian anugerah.

Madius berkata enam anugerah utama bagi ‘Anugerah MCY 2016’ dengan nilai keseluruhan RM1 juta berjaya direbut peserta-peserta yang bertanding terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi yang memberi sepenuh komitmen menghasilkan produk bagi dikomersialkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA