Produk rumpai laut M’sia berpotensi dipasarkan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Produk berasaskan rumpai laut keluaran Malaysia berpotensi untuk dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa berikutan hasil laut negara itu berkualiti tinggi.

Pengarah Urusan Comfort Rich Sdn Bhd Anuar Ma Yusof berkata rumpai laut boleh didapati dalam jumlah banyak di perairan Semporna, Sabah dan dapat memenuhi permintaannya yang semakin meningkat.

“Ramai yang masih tidak menyedari potensi dimiliki rumpai laut untuk dijadikan perniagaan. Pada asasnya bahan ini mendapat permintaan tinggi kerana ia antara campuran digunakan dalam penghasilan yogurt, jus minuman, kek serta coklat.

“Rumpai laut juga digunakan sebagai campuran dalam menghasilkan produk kecantikan seperti sabun, pelembab, pencuci muka dan juga syampu,” kata Anuar yang menjalankan perniagaan berasaskan rumpai laut kepada Bernama.

Produk rumpai laut berpotensi untuk dikomersialkan ke peringkat antarabangsa. – AFP
Produk rumpai laut berpotensi untuk dikomersialkan ke peringkat antarabangsa. – AFP

Bagaimanapun beliau berkata tidak ramai di negara ini yang terlibat dalam industri itu, baik sebagai penjual, pembekal dan pemproses, selain yang terlibat dalam mempromosinya.

Beliau berkata dengan kelebihan memiliki sumber yang banyak, Malaysia mampu menjadi antara pengeluar utama produk berasaskan rumpai laut sekaligus dapat menyaingi perniagaan besar dari negara jiran seperti Filipina, pengeluar utama rumpai laut dan produk berkaitan di peringkat antarabangsa, selain Indonesia. – Bernama