Produk susu keldai trend kesihatan baru?

Produk susu keldai trend kesihatan baru?

MONTENEGRO – Mesin-mesin sudah lama merampas tugas tradisional keldai sebagai pengangkutan mengangkat beban barangan, tetapi haiwan itu mula mendapat perhatian di Montenegro, terima kasih kepada susunya yang berharga.

Ia begitu terhad dan dijual dengan harga mahal, 50 euro (AS$54) satu liter, ia mungkin satu peluang penyambung hayat bagi baka keldai Balkan, yang mana jumlahnya telah merosot dengan cepat.

Tetapi ia menjadi menonjol dengan potensi produk terapeutiknya, menurut para pengeluar dan pembeli.

“Susu keldai ini sangat bagus untuk masalah kulit dan penyakit lain,” kata Darko Saveljic, sambil memerah susu daripada salah seekor daripada 30 ekor keldainya di tempat perlindungannya, tengah Montenegrin.

Malah sejumlah kecil susu boleh membantu asma dan bronkitis, menurutnya.

Darko Saveljic ketika memerah susu seekor keldainya. Produk susu keldai begitu terhad dan dijual dengan harga mahal, 50 euro (AS$54) satu liter. – AFP
Darko Saveljic ketika memerah susu seekor keldainya. Produk susu keldai begitu terhad dan dijual dengan harga mahal, 50 euro (AS$54) satu liter. – AFP

Haiwan itu boleh menghasilkan susu selepas dua atau tiga bulan kelahirannya dan hanya menghasilkan 400 mililiter sehari, jumlah kecil berbanding yang dihasilkan oleh lembu.

“Jangan harap jumlah susu yang banyak,” kata Saveljic, yang memberikan separuh daripada hasil kepada mereka yang memerlukan tetapi tidak berkemampuan.

Nilai harga produk itu sangat tinggi di Montenegro, tempat tinggal kepada 620,000 orang dan purata pendapatan sebulan sekitar 500 euro.

Simptom berkurang

Kira-kira setengah jam dari ibu negara Podgorica, Valeria Markovic telah menghubungi penternakan itu selepas usaha mencari penawar bagi anak lelakinya yang berusia lima tahun, Vlado, di mana alahannya menjadikannya sukar untuk beliau bernafas pada waktu malam.

Selepas meminum sejumlah kecil produk itu setiap hari, simptom Vlado semakin berkurang berbanding sebelumnya.

Pakar sains tenusu dan penolong profesor di Universiti Cyprus bagi Teknologi, Photis Papademas, berkata bahawa terdapat petanda kuat bahawa susi keldai berkesan menangani gangguan yang disebabkan kelemahan sistem kekebalan badan.

Beliau berkata kandungan protein dalam susu haiwan itu, yang sama dengan susu manusia tetapi rendah dari segi lemak, kelihatannya menyelaraskan imuniti, tetapi kajian klinikal diperlukan.

“Buktinya masih belum cukup kuat, tetapi terdapat beberapa petanda baik,” katanya.

“Anda perlu berwaspada apabila mengaitkan antara kesihatan dan makanan.”

Produk-produk keldai juga dipromosikan di Serbia, di mana Zasavica Nature Reserve mendakwa menjual keju termahal di dunia, diperbuat daripada susu keldai, dengan harga 6,000 dinar (48 euro) bagi setiap 50 gram.

Menyelamatkan keldai

Banci pertanian terakhir Montenegro pada tahun 2010 meletakkan jumlah keldai sekitar 500 ekor, meskipun Saveljic hanya menganggarkan ia kini hanya berjumlah 150 ekor, dan pada tahun ini haiwan itu termasuk dalam program pemuliharaan kebangsaan bagi pembiakan asli.

Beliau mempunyai sekitar 30 ekor keldai di tempat perlindungannya itu. – AFP
Beliau mempunyai sekitar 30 ekor keldai di tempat perlindungannya itu. – AFP
Sebahagian daripada keldai di tempat perlindungannya itu diberikan oleh orang lain dan sebahagiannya dibeli dari pasar-pasar ternakan. – AFP
Sebahagian daripada keldai di tempat perlindungannya itu diberikan oleh orang lain dan sebahagiannya dibeli dari pasar-pasar ternakan. – AFP

Tiga dekad yang lalu, kesemua rumah-rumah di perkampungan bahagian Mediterranean negara itu mempunyai keldai, beribu-ribu ekor keldai, namun kini mereka beralih menggunakan mesin dan keldai tidak lagi diperlukan.

Bagi Saveljic, menghasilkan susu merupakan antara fungsi tempat perlindungannya dan cara untuk mengekalkan kemapanannya.

Dengan menjalani latihan sebagai ahli ornitologi, beliau telah menubuhkan kawasan ternakan tersebut untuk memulihara keldai di pergunungan negara itu, bimbang dengan jumlah baka Balkan yang semakin berkurang itu.

Sebahagian daripada keldai di tempat perlindungannya itu diberikan oleh orang lain dan sebahagiannya dibeli dari pasar-pasar ternakan.

Kesemua keldai di sana diberikan nama oleh beliau, ia kini hidup dengan aman bersama sejumlah kecil ayam.

Manakala yuran kemasukan ke tempat perlindungan itu adalah sekilo epal atau lobak, dan Savelijic berharap dengan menerima para pelawat setiap hujung minggu akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai haiwan tersebut.

Beliau juga menjemput keluarga-keluarga yang mempunyai anak autistik bagi membuat lawatan secara percuma, dengan para ibu bapa memberikan respons bahawa adanya perubahan positif dari segi kelakuan selepas mereka berinteraksi dengan haiwan-haiwan tersebut.

“Jika anda menangani keldai dengan baik. Mereka menghormati anda, ia bersedia untuk pergi ke mana sahaja bersama anda,” kata Saveljic. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA