Produktiviti buruh Malaysia meningkat

Produktiviti buruh Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) – Produktiviti buruh Malaysia meningkat 3.3 peratus kepada RM74,538 setiap jam buruh tahun lepas daripada RM73,091 pada 2014, dan berpotensi mencapai pertumbuhan 3.7 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada pertumbuhan produktiviti industri yang kukuh yang direkodkan dalam beberapa sektor utama seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Untuk merealisasikan segera potensi produktiviti penuh, sektor perniagaan Malaysia perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi baharu selain mengguna pakai inovasi terkini ICT, mesin dan peralatan serta mewujudkan peluang untuk peluasan eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Laporan Produktiviti 2015/2016 yang diterbitkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Mustapa berkata laporan itu menekankan pentingnya potensi produktivitiditingkatkan lagi di Malaysia ke arah mencapai sasaran global.

Beliau berkata antara strateginya ialah memperjuangkan produktiviti dan daya saing dengan memupuk tenaga kerja yang cekap, inovatif dan berkemahiran, memanfaatkan penyelidikan dan inovasi, serta meningkatkan daya saing pasaran.

Beliau berkata laporan itu mengetangahkan bahawa pertumbuhan keusahawanan perlu diperkukuh dengan meningkatkan kemahiran dan pendidikan ke arah kecemerlangan operasi yang lebih besar di sepanjang rantaian nilai.

Mustapa juga berkata kerajaan sedang menggubal pelan tindakan produktiviti, yang dijangkakan siap pada Ogos.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan mengkaji 10 sektor yang mencatatparas produktiviti yang rendah, namun memainkan peranan yang penting dalam ekonomi, seperti pelancongan dan peruncitan. Mustapa bekata satu lagi faktor yang mempengaruhi tahap produktiviti ialah prestasi ekonomi negara secara menyeluruh.

Menurutnya apabila pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara sederhana, tahap produktiviti turut menyusut.

Namun, katanya ia boleh diimbangi dengan melaksanakan automasi dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.