Profesor dibunuh, polis tahan pelajar

Profesor dibunuh, polis tahan pelajar

DHAKA, 24 April – Polis Bangladesh telah menangkap seorang pelajar Islamis hari ini berhubung tetakan mati seorang profesor sehari awalnya, pembunuhan terbaru yang didakwa oleh kumpulan Islamic State (IS).

Penyerang bersenjatakan parang hampir memenggal kepala profesor Bahasa Inggeris, Rezaul Karim Siddique kelmarin di bandar barat laut Rajshahi, berikutan siri pembunuhan serupa aktivis sekular oleh militan Islamis.

Profesor berusia 58 tahun itu dibunuh ketika dia berjalan ke stesen bas dari rumahnya.

Pelajar dari Universiti Rajshahi tempat Siddique mengajar itu telah ditangkap awal hari ini untuk disoal siasat, walaupun pemburuan masih lagi diteruskan bagi mencari suspek lain, kata timbalan pesuruhjaya polis bandar, Nahidul Islam.

Menurutnya, pelajar dalam bidang pentadbiran awam itu adalah anggota Islami Chhatra Shibir, pelajar berhaluan parti pembangkang Islamis terbesar di Bangladesh, Jamaat-e-Islami.

“Kami telah menahan seorang pelajar Universiti Rahshahi berusia 21 tahun yang merupakan seorang anggota Shibir sebagai suspek berhubung pembunuhan itu,” Islam memberitahu AFP, tanpa memberi butiran mengenai peranannya dalam serangan itu.

Siddique adalah profesor keempat dari Universiti Rajshahi yang dibunuh oleh suspek Islamis dalam beberapa tahun kebelakangan.

Lima blogger sekular, dan seorang penerbit juga telah dibunuh, serta anggota kumpulan minoriti dan warga asing, ketika Bangladesh masih lagi bingung dari keganasan Islamis yang semakin meningkat. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA