Profesor Korea bangunkan papan kekunci khas jawi

Profesor Korea bangunkan papan kekunci khas jawi

MELAKA, 21 Feb (Bernama) – Prof Dr Kang Kyoung Seok dari University of Foreign Studies, Korea Selatan kini dalam usaha membangunkan papan kekunci khusus untuk kegunaan tulisan jawi.

Kang, 61, yang merupakan satu-satunya warga Korea Selatan diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pakar tulisan jawi berkata papan kekunci sedia ada yang mengambil bahasa Arab sebagai model dilihat kurang sesuai untuk menulis jawi.

Beliau berkata papan kekunci jawi yang sedang dibangunkannya mengambil model tulisan rumi yang dilihat lebih mudah dikuasai kegunaannya terutamanya dalam kalangan generasi muda masa kini.

“Walaupun tulisan bahasa Arab itu ada sedikit sebanyak sama dengan jawi tetapi perlu diingat bahasa Arab dan bahasa Melayu itu terlalu banyak bezanya, jadi bila mahu eja bahasa Melayu dengan tulisan jawi melalui papan kekunci bahasa Arab tentunya bukan perkara mudah.

“Generasi muda bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia belajar dan tahu bahasa Melayu dengan tulisan rumi, maka bila ada papan kekunci jawi dengan model tulisan rumi mereka akan lebih mudah faham,” katanya yang fasih berbahasa Melayu melalui e-mail kepada Bernama di sini.

Kang kini dalam fasa akhir pembangunan papan kekunci itu dan tidak menolak kemungkinan mengembangkan papan kekunci itu untuk kegunaan peranti lain seperti telefon pintar selain papan kekunci untuk komputer peribadi serta komputer riba.

Beliau juga dijadualkan membentangkan idea papan kekuncinya itu pada sebuah persidangan mengenai tulisan jawi di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Muallim, Perak tahun ini.

“Oleh kerana saya belajar jawi dan bahasa Melayu di Universiti Malaya maka saya merasa terhutang budi dan dengan penyelidikan dan kajian seperti ini akan saya balaskan budi kepada masyarakat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA