Program 3PK kesan risiko awal penyakit

Program 3PK kesan risiko awal penyakit

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Program Perkesankan Pemeriksaan Kesihatan (3PK) yang dikendalikan Kementerian Kesihatan diharap dapat melakukan pengesanan awal risiko kesihatan dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit supaya intervensi awal bagi rawatan dan pencegahan dapat dibuat.

Program yang bermula pada 2015 dengan mengadakan pemeriksaan ke atas warga Kementerian Kesihatan itu, pada hari ini memulakan siri keduanya bagi Kementerian Pembangunan dengan sasaran akan mengadakan pemeriksaan ke atas sekitar 800 orang kakitangan kementerian itu sepanjang tempoh pemeriksaan yang bermula hari ini sehingga 20 Februari 2016.

Ketika ditemu bual, Ketua Program 3PK, Dr. Haji Azlan bin Haji Jaludin berkata, program itu menumpukan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan yang berumur 40 tahun ke atas.

Katanya, had umur itu adalah berdasarkan fakta kesihatan yang membuktikan, mereka yang berumur 40 tahun ke atas berdepan dengan risiko lebih tinggi mengidap penyakit hipertensi, diabetes.

Dr Haji Azlan menerangkan mengenai Program 3PK
Dr Haji Azlan menerangkan mengenai Program 3PK

“Untuk menjayakan kempen pemeriksaan kesihatan seperti ini, kami telah menghubungi setiap kementerian secara bertulis untuk meminta senarai kakitangan kementerian yang berumur 40 tahun ke atas.

“Berhubung Kementerian Pembangunan, daripada senarai hampir 2,000 orang kakitangan Kementerian Pembangunan berumur 40 tahun ke atas yang kami peroleh itu maka kakitangan kami telah membandingkan senarai itu dengan Sistem Maklumat dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan (Bru-HIMS) Kementerian Kesihatan dan mendapati sekitar 900 orang masih belum mendapatkan sebarang pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan dan layak mendapat pemeriksaan kesihatan pada kempen itu,” katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai pemeriksaan itu, Dr. Haji Azlan berkata, mereka yang layak untuk menjalani pemeriksaan itu telah dihubungi lebih awal oleh kakitangan 3PK dan dinasihatkan supaya berpuasa sekurang-kurangnya 12 jam sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mendapat bacaan yang tepat.

Beliau menambah kata, walaupun had umur telah ditetapkan, namun pihaknya juga melayan permohonan kakitangan berumur sekitar 38 dan 39 tahun yang keadaan fizikal mereka mempunyai tanda-tanda obes yang ingin mendapat pemeriksaan kesihatan.

Program 3PK merupakan satu program penyaringan dikendalikan oleh jururawat-jururawat terlatih untuk mengesan dan mencegah penyakit kronik seperti penyakit hipertensi, diabetes dan tinggi kolesterol pada peringkat awal bagi peserta yang berumur 40 tahun ke atas.

Antara objektif program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan pemeriksaan kesihatan, menyebarluaskan informasi mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit dan meningkatkan akses orang ramai terhadap perkhidmatan program itu.

ARTIKEL YANG SAMA