Program Amal Ramadan SM YSHHB

Program Amal Ramadan SM YSHHB

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB), hari ini, telah mengadakan Program Amal Ramadan Untuk Keluarga Yang Kurang Berkemampuan yang diadakan buat kali keempat di dewan kuliah sekolah tersebut di Kampung Pulaie.

Pada majlis itu, seramai 42 pelajar dari enam buah sekolah Kluster 3 Daerah Brunei dan Muara , iaitu Sekolah Menengah Rimba 1, Sekolah Menengah Rimba 2, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Sayyidina Hassan dan Sekolah Menengah Sayyidina Hussain bersama sembilan orang anak yatim dari SM YSHHB menerima sumbangan derma berupa barangan dan wang tunai.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis untuk menyampaikan sumbangan derma berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SM YSHHB, Haji Mohd Soffi bin Orang Kaya Seri Wijaya Haji Abdullah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengetua SM YSHHB, Siew Kuan Keasberry berkata, majlis itu diadakan untuk melakukan sedekah sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, di samping membantu meringankan beban hidup keluarga yang kurang berkemampuan menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Tetamu kehormat menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Tetamu kehormat menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Sebahagian daripada 42 pelajar dari enam buah sekolah Kluster 3 Daerah Brunei dan Muara yang menghadiri majlis tersebut, kelmarin.
Sebahagian daripada 42 pelajar dari enam buah sekolah Kluster 3 Daerah Brunei dan Muara yang menghadiri majlis tersebut, kelmarin.

Aktiviti itu juga merupakan program outreach masyarakat sekolah berkenaan dan memberi pendedahan kepada para pelajar akan keluarga yang kurang berkemampuan serta melahirkan rasa simpati dan empati dalam kalangan pelajar sekolah itu.

Beliau juga menyampaikan rasa terima kasih terhadap pelajar dan ibu bapa mereka yang telah menghulurkan derma ikhlas dalam tempoh yang singkat dari 30 Jun hingga 7 Julai 2015 serta pihak-pihak yang telah menghulurkan sumbangan derma untuk majlis itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengiran Yusyeeman bin Pengiran Sulaiman dan bacaan Ratib Al-Attas yang dipimpin oleh Haji Shamsul Muawan bin Haji Sodiq.

Selepas ucapan daripada pengerusi, majlis diteruskan dengan acara penyerahan derma kepada para penerima oleh pengerusi majlis, bacaan Surah Al-Ashr dan disusuli pengagihan barang-barang sedekah kepada para penerima.

ARTIKEL YANG SAMA