Program Amali BGC bantu masyarakat

Program Amali BGC bantu masyarakat

Oleh Hajah Saemah Kepli & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosialnya untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, Syarikat Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC) telah melaksanakan Program Amali dengan mengunjungi beberapa buah rumah di Mukim Liang, Daerah Belait, dan Mukim Sengkurong, Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Di Mukim Liang, rombongan BGC yang diketuai Pengarah Urusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa telah mengunjungi tiga buah rumah di kawasan Jalan Pantai Sungai Liang dan dua buah di kawasan Kampung Bakong dan Kampung Sungai Tali Lumut.

Dalam kunjungan berkenaan, rombongan yang terdiri daripada seramai 50 orang kakitangan BGC telah menawarkan diri secara sukarela untuk membuat kerja-kerja amal membersihkan kawasan rumah penerima yang memerlukan bantuan.

Kunjungan di mukim ini telah dimulakan dengan rumah penerima di Jalan Pantai Liang, iaitu Awang Mohd Asmawi bin Busrah, 15, diikuti dengan Awang Suhaimie bin Haji Abd Samad, 48, di Kampung Sungai Tali Lumut dan Awang Tamin bin Haji Ahmad, 55, di Kampung Bakong Lumut.

Manakala itu, di Mukim Sengkurong, satu lagi rombongan pegawai dan kakitangan BGC telah mengunjungi tiga buah rumah yang didahului dengan rumah Dayang Annissa Shidiqqin binti Zainal yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun di Kampung Selayun Sengkurong, bagaimanapun, beliau ketika kunjungan tidak berada di rumah, dan sumbangan diterima oleh ibunya yang merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga berkenaan.

Haji Shahbudin menyampaikan sumbangan kepada anak salah seorang penerima di Kampung Sungai Bakong Lumut.
Haji Shahbudin menyampaikan sumbangan kepada anak salah seorang penerima di Kampung Sungai Bakong Lumut.

Kemudian kunjungan diteruskan ke rumah Awang Suhaimie bin Haji Abdul Samad di Kampung Pengkalan Batu dan rumah Dayang Sabariah binti Baharin di kawasan Kampung Sungai Tampoi.

Ketika ditemui, Dayang Sabariah yang tinggal bersama ibunya, telah melahirkan rasa syukur dan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak yang berkenaan.

Menurutnya, beliau yang tidak bekerja menyangka kehadiran pihak BGC sebelum ini adalah untuk mengambil beliau bekerja di syarikat itu agar dapat membantu ibunya yang hanya menerima pencen kerajaan.

“Walau bagaimanapun, kami tetap berterima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan yang dihulurkan hari ini bersama kehadiran rombongan BGC meramaikan rumah kami yang selama ini sunyi yang hanya didiami oleh ibu dan saya,” ujar Dayang Sabariah sambil mengesat air matanya.

Rombongan BGC selepas melakukan kerja amal membersihkan kawasan di salah sebuah rumah penerima bantuan di Kampung Sungai Bakong Lumut.
Rombongan BGC selepas melakukan kerja amal membersihkan kawasan di salah sebuah rumah penerima bantuan di Kampung Sungai Bakong Lumut.
Gambar ramai rombongan BGC di kediaman Dayang Sabariah dan ibunya di Kampung Sungai Tampoi.
Gambar ramai rombongan BGC di kediaman Dayang Sabariah dan ibunya di Kampung Sungai Tampoi.

Sumbangan berupa barangan keperluan seharian dan wang tunai disampaikan oleh wakil pegawai BGC yang mengikuti rombongan di Mukim Sengkurong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan merupakan aktiviti tahunan syarikat tersebut yang mula diperkenalkan pada tahun 2013, yang mana BGC bekerja rapat dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk memilih keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik melalui senarai kebajikan sosial kerajaan.

Program antara lain bertujuan untuk membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh masyarakat yang memerlukan bantuan di negara ini, supaya mereka dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ia juga sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan semasa mereka memerlukan.

Di samping itu, inisiatif ini juga memberikan peluang kepada kakitangan untuk memperlihatkan rol model yang baik dan menyumbang kepada masyarakat serta melahirkan rasa kekitaan dan tanggungjawab.

ARTIKEL YANG SAMA