Program AOP bantu atlet ke Olimpik Tokyo 2020

Program AOP bantu atlet ke Olimpik Tokyo 2020

PETALING JAYA, 1 Dis – Program Olimpik Asia yang bermula sejak 27 Nov lepas di Kuala Lumpur menjadi antara platform untuk Konfederasi Badminton Asia (BAC) membantu pemain dari negara membangun di benua Asia untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Operasi (COO) BAC, Kenny Goh menjelaskan program berkenaan yang berakhir pada 11 Dis ini memilih pemain berusia 18 hingga 24 tahun dari beberapa negara membangun seperti Jordan, Iran, Kazakhstan, Syria dan Sri Lanka yang dilihat mempunyai potensi untuk mara lebih jauh dalam sukan badminton.

Beliau berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada beberapa bekas pemain kebangsaan antaranya Wong Choong Hann, Chew Choon Eng dan Lee Wan Wah.

“Ini merupakan pertama kali kita mengadakan latihan kem pusat dan disebabkan pejabat BAC terletak di Kuala Lumpur, kami memilih negara ini sebagai pusat latihan yang pertama untuk program ini,” katanya pada sidang media sebelum majlis penyerahan peralatan badminton kepada empat daripada 12 pemain dalam program berkenaan di sini, hari ini.

“Selepas ini, kita mungkin akan menjalankan latihan pusat di Indonesia dan India dan kita cuba mendapatkan pertolongan legenda badminton seperti Hariyanto Arbi dari Indonesia untuk membantu kita (BAC) semasa kita mengadakan latihan di negara berkenaan,” kata Goh, sambil menjelaskan kesemua perbelanjaan untuk pemain terlibat ditanggung sepenuhnya oleh BAC. – Bernama