Program APEX labuh tirai

Program APEX labuh tirai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Program Pertukaran Seni Boneka ASEAN (APEX) berakhir hari ini dengan majlis penutupnya yang berlangsung di Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

Pada majlis itu, seramai 22 peserta, masing-masing dua dari Singapura, Laos, Myanmar, Vietnam, Jepun dan Negara Brunei Darussalam menerima sijil penyertaan mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Hadir sama ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Nortijah binti Haji Hassan dan Pemangku Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Hajah Fatimah binti Haji Aji.

Pengerusi Persatuan Seni Boneka ASEAN Brunei (APA), Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin dalam ucapan alu-aluannya berkata, APEX diwujudkan sebagai hasil daripada keputusan yang dicapai pada Mesyuarat APA ke-6 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 2014.

Tetamu kehormat (ketujuh dari kiri) bergambar bersama-sama peserta Bengkel Boneka ASEAN.
Tetamu kehormat (ketujuh dari kiri) bergambar bersama-sama peserta Bengkel Boneka ASEAN.
Para peserta Brunei dan Vietnam mempersembahkan persembahan boneka Nakhoda Manis.
Para peserta Brunei dan Vietnam mempersembahkan persembahan boneka Nakhoda Manis.

Manakala itu, APA telah dibentuk pada 2006 ekoran termeterainya perjanjian di antara 10 buah negara anggota ASEAN yang disaksikan oleh Timbalan Presiden Republik Indonesia, Yusuf Kalla.

Acara penutup malam ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pengiran Aliuddin bin Pengiran Haji Jamaluddin, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi APA, Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Elaine Tan dan Wakil Penyelaras APEX, Nguyen Thi Thu Thuy.

Seterusnya, diadakan persembahan boneka daripada wakil enam negara, tayangan video sepanjang bengkel dan persembahan nyanyian oleh para peserta sebelum mereka bergambar ramai dan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel.