Program awal literasi dapat sambutan positif

Program awal literasi dapat sambutan positif

Oleh Salawati Haji Yahya

 

pg01_160317_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Hasil daripada pemantauan perkembangan anak damit yang menyertai program awal literasi dan kaji selidik serta temu bual yang dilaksanakan, mendapati respons awal daripada ibu bapa dan penjaga terhadap program berkenaan adalah positif dan menggalakkan.

“Ibu bapa yang terlibat dalam program ini berpuas hati dengan tindak balas dan perkembangan anak damit mereka,” ujar Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid semasa Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang hari ini.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menambah, keberkesanan penuh program ini hanya dapat dilihat pada usia lima tahun pertama anak damit tersebut dan kerjasama padu ibu bapa dalam merealisasikan kejayaan program ini amat diperlukan.

Sehubungan itu, ujar beliau, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berusaha membuat pemantauan, perkembangan program peserta dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, program awal literasi adalah program berbentuk intelektual yang menjurus kepada memperkasa budaya membaca seawal anak damit.

Kaedahnya adalah dengan menyediakan beg kecil berisi buku-buku awal literasi yang diberikan percuma kepada anak damit yang baru lahir di negara ini dengan harapan ibu bapa akan membacakan buku-buku tersebut kepada anak damit mereka di peringkat awal lagi.

Menurut Yang Berhormat Pehin, setakat ini sebanyak 357 buah keluarga telah menerima buku berkenaan dan pemantauan perkembangan anak damit yang menerima beg berkenaan dibuat di perpustakaan.

Katanya lagi, program awal literasi memang dihasratkan untuk semua anak-anak damit yang lahir di negara ini dan DBP telah memulakan program ini dengan memilih anak-anak damit yang lahir pada bulan Februari 2014 untuk melihat pemantauan keberhasilannya mudah dicapai.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, projek ini akan diteruskan dan akan dapat disertai semua anak damit di negara ini pada masa akan datang.

Dapatan daripada program sama yang dilaksanakan di negara-negara lain seperti Jepun, New Zealand dan Korea, tambah beliau, menunjukkan bahawa pembangunan awal kanak-kanak yang mengikuti program seumpama ini adalah lebih cepat yang memberi kesan kepada pembangunan keseluruhan mereka dari aspek emosi, sosial dan fizikal.

ARTIKEL YANG SAMA