Program Bedudun tingkat motivasi pelajar

Program Bedudun tingkat motivasi pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Sebagai usaha untuk meningkatkan keyakinan dan motivasi diri pelajar ke arah mencapai kejayaan dalam bidang akademik, Sekolah Rendah Lambak Kanan telah mengadakan Program ‘Bedudun Kitani Menuju Penilaian Sekolah Rendah (PSR)’ di sekolah tersebut, kelmarin.

Program yang melibatkan 12 buah sekolah dari seluruh negara itu julung kali diadakan bagi tahun ini, di mana seramai lapan orang kaunselor dari sekolah-sekolah rendah telah dijemput bagi mengendalikan program tersebut.

Ia juga diadakan sebagai usaha untuk menyokong Badan Kaunselor Sekolah Rendah, Kementerian Pendidikan yang telah menganjurkan Program Bimbingan Kelompok PSR bagi Tahun 6.

Guru Besar Sekolah Rendah Lambak Kanan, Hajah Noorlilah binti Haji Aspar dalam kenyataan yang diberikan, menyokong kerjasama kaunselor dalam membantu dan memberikan kesedaran kepada para pelajar terhadap kepentingan mengulangkaji dan menyedari bahawa untuk membentuk masa depan yang cemerlang haruslah berusaha bermula dari peringkat awal lagi.

Bergambar ramai bersama yang terlibat pada program tersebut.
Bergambar ramai bersama yang terlibat pada program tersebut.

Program ‘Bedudun Kitani Menuju PSR’ ini juga bertujuan membantu pelajar menetapkan matlamat mereka semasa waktu peperiksaan PSR serta membantu mereka menyediakan diri secara mental dan fizikal bagi menghadapi peperiksaan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA