Program Belia 2018 dibuka sekarang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan bahawa borang bagi menyertai Program Belia Antarabangsa 2018 kini dibukakan kepada semua rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 hingga 30 tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS di sini, hari ini, Program Belia Antarabangsa merupakan program, latihan, mesyuarat dan persidangan atau pertukaran belia dan seumpamanya yang diselaraskan oleh KKBS melalui Jabatan Belia dan Sukan ke negara-negara ASEAN dan Asia termasuk Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea dan negara-negara antarabangsa lainnya.

Menurut kenyataan itu lagi, borang boleh didapati di Bahagian Belia, Jabatan Belia dan Sukan, Tingkat 3, Bangunan KKBS. Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan tidak lewat pada 11 Januari 2018 sebelum 4 petang di tempat sama. Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin untuk mendapatkan keterangan lanjut bolehlah berhubung terus ke talian 2381903/4/5 sambungan 1304/1305.