Program Belia Ibadur Rahman labuh tirai

Program Belia Ibadur Rahman labuh tirai

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Mac – Bersempena musim cuti penggal persekolahan ini, badan belia Ibadur Rahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) telah mengadakan Program ‘Dare to be Different’ yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini di Taman Warisan Tasek Merimbun, Mukim Rambai, Daerah Tutong.

Sehubungan itu, majlis penutup program yang disertai seramai 30 orang belia yang terdiri daripada 12 orang peserta lelaki dan 18 orang perempuan, telah diadakan di Balai Purun, Taman Warisan Tasek Merimbun, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil ialah Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Muhammad.

Program ini merupakan perkhemahan belia yang diadakan buat kali kedua anjuran Ibadur Rahman MHBPT sebagai salah satu usaha menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengatasi masalah sosial yang melibatkan golongan belia dan remaja.

Objektif utama program adalah untuk menjadi titik permulaan ke arah penghijrahan belia individu kepada yang lebih baik.

Gambar ramai selepas Majlis Penutup Program ‘Dare To Be Different’ bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai selepas Majlis Penutup Program ‘Dare To Be Different’ bersama tetamu kehormat.

Sepanjang program itu, beberapa aktiviti telah diadakan yang melibatkan kematangan berfikir, kesenian Islam, kekuatan fizikal dan mental, dan disiplin diri untuk melengkapkan keyakinan diri serta meningkatkan motivasi diri, bermanfaat untuk jasmani dan juga kepada nilai ukhuwah dan kerohanian.

Beberapa orang penceramah dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) turut dijemput untuk menyampaikan taklimat dan mengendalikan beberapa aktiviti.

Ibadur Rahman MHBPT merupakan sebuah badan belia Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang dikendalikan oleh para belia Daerah Tutong yang ditubuhkan secara rasmi pada 21 Julai 2013. Badan Belia ini telah melebarkan sayapnya di bawah sokongan dan penyeliaan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.