Program Berkembar penuhi aspirasi SPN21

Program Berkembar penuhi aspirasi SPN21

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Dengan hasrat untuk mendedahkan para pelajar kepada suasana pembelajaran yang baru dan meningkatkan ilmu pengetahuan mereka melalui pengalaman yang dilalui di luar negara, seramai 15 orang pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) bersama tiga orang guru pengawas telah berlepas ke Singapura, hari ini, untuk menyertai Program Berkembar dengan Sekolah Victoria, Singapura bermula 24 hingga 28 Ogos.

Lawatan selama empat hari itu merupakan pusingan kedua bagi program berkembar berkenaan yang disertai oleh para pelajar Tahun 7, 9 dan 10 dan diketuai oleh guru mereka, Dayang Rosnani binti Haji Mohd Bakir, Awang Ahmad Afiff bin Ismail dan Hajah Norbanei Efah @ Nur’Arisya binti Haji Mohd Yusof.

SMSSA mula menyertai program berkenaan pada 2013 dan lawatan pertama dari Sekolah Victoria diadakan pada 2014 dengan lawatan balas dari SMSSA ke Sekolah Victoria diadakan pada Oktober 2014.

Menerusi program tersebut, ia dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mengetahui dan mendalami potensi penuh mereka bagi memenuhi aspirasi SPN21 dan mendidik mereka supaya lebih terbuka dalam konteks pembelajaran selaras dengan Sistem Pendidikan Abad ke-21 (SPN21).

Disamping itu juga, Dayang Rosnani berharap melalui penyertaan SMSSA ke dalam program tersebut akan dapat mendedahkan para pelajar dan juga guru-guru kepada suasana pembelajaran dan pengajaran yang baru, membuka minda para pelajar mengenai tabiat dan cara belajar para pelajar di Singapura dan juga berharap dapat menanamkan aspirasi dalam diri mereka untuk terus berusaha meningkatkan pembelajaran serta memperoleh pelbagai kemahiran dalam pelbagai aspek kehidupan yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.

Delegasi pelajar bersama guru pengawas SMSSA yang berlepas untuk menyertai Program Berkembar dengan Sekolah Victoria, Singapura bermula kelmarin.
Delegasi pelajar bersama guru pengawas SMSSA yang berlepas untuk menyertai Program Berkembar dengan Sekolah Victoria, Singapura bermula kelmarin.

Beliau berkata, program tersebut dapat memberikan peluang kepada guru-guru untuk menilai bagaimana sekolah-sekolah di Singapura menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran mereka serta sebagai garis pandu sejauh mana ia dapat dilaksanakan di sekolah nanti.

Penyertaan dalam program berkembar tersebut juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan yang erat, menggalakkan pertukaran pendapat dan pengalaman yang bermanfaat untuk dipelajari dan mempraktikkan amalan-amalan terbaik dan relevan antara kedua-dua buah sekolah.

Selain itu, para pelajar yang terlibat juga diharapkan akan berupaya meningkatkan lagi daya saing, mengembangkan dan mencapai potensi penuh mereka setelah mengalami suasana pembelajaran yang baru dan lebih mencabar seperti yang terdapat di Singapura.

Sementara itu, bagi guru-guru yang menyertai program tersebut, ia bukan sahaja memberikan pendedahan kepada mereka mengenai kaedah pengajaran dan pengurusan bilik darjah yang baru, malah untuk menilai bagaimana Sekolah Victoria dapat menangani masalah disiplin di sekolah dengan menerokai serta belajar dalam melaksanakan amalan-amalan terbaik yang boleh membawa kepada kejayaan pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA