Program Borneo Rainforest Warriors 4 Jun ini

Program Borneo Rainforest Warriors 4 Jun ini

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Penggemar aktiviti kecergasan akan berpeluang untuk menyertai cabaran rejim kecergasan di hutan hujan menerusi program Borneo Rainforest Warriors yang bakal diadakan di Sumbiling Eco Village pada 4 dan 5 Jun ini.

Cabaran anjuran Hip and Healthy, Fitness Zone, The Energy Kitchen dan Sumbiling Eco Village (SEV) bakal menguji kemampuan fizikal dan mental di mana mereka akan tinggal di dalam hutan.

Anna Aziz dari Hip and Healthy ketika sidang media di The Energy Kitchen, Kiulap, baru-baru ini menjelaskan, pengembaraan berkenaan direka untuk membuatkan seseorang itu cergas dan sihat, serta memberikan seseorang itu pengalaman ‘survival’ di hutan di samping menimba pengalaman mengenai budaya masyarakat Iban.

Dengan meredah hutan, ujarnya, peserta akan mempelajari dan mengalami bagaimana masyarakat Iban berkembang dan menggunakan teknik ‘survival’ mereka yang unik untuk hidup dengan selesa di dalam hutan hujan.

“Pada hari pertama, atur cara termasuklah trek yang sukar ke Bukit Kelulut yang memerlukan peserta menyeberangi sungai, merentasi hutan hujan asli di samping menemui hidupan liar yang menakjubkan dalam habitat semula jadi,” jelas Pengarah Pengurusan Hasa Incentives Sdn Bhd, Leslie Chiang.

Pengarah Pengurusan Fitness Zone dan juga pemilik The Energy Kitchen, Wu Chun bersama Anna Aziz (tiga kanan), Leslie Chiang (dua kanan) dan juga para jurulatih Fitness Zone bergambar ramai selepas sidang media.
Pengarah Pengurusan Fitness Zone dan juga pemilik The Energy Kitchen, Wu Chun bersama Anna Aziz (tiga kanan), Leslie Chiang (dua kanan) dan juga para jurulatih Fitness Zone bergambar ramai selepas sidang media.

Menurutnya lagi, sepanjang perjalanan, masyarakat Iban akan membimbing peserta bagaimana untuk hidup di dalam hutan, apa tumbuh-tumbuhan yang dapat dimakan, tumbuhan yang perlu dielak, bagaimana untuk membuat perangkap dan tempat perlindungan jika sedang memburu dan bagaimana untuk mencari kayu kering dan menyalakan api.

“Apabila sampai ke destinasi, peserta akan dianugerahkan dengan pemandangan hutan hujan yang indah di samping melihat langit bertukar warna ketika matahari terbenam,” ujarnya sambil menambah, sebelum hari gelap, peserta akan berjalan kembali ke bot yang akan membawa mereka balik ke SEV bagi menikmati jamuan malam dengan menggunakan unggun api.

“Pada keesokan harinya, peserta akan memulakan hari dengan sesi yoga bagi meregangkan otot yang letih selepas aktiviti sebelumnya sambil melepaskan semua tekanan pada badan.

“Sarapan berkhasiat akan dihidangkan dan selepas masa yang cukup untuk penghadaman, latihan interval berintensiti tinggi akan dijalankan dan dikendalikan oleh seorang jurulatih yang pakar.”

Selain itu, jelas beliau lagi, para peserta akan membina rakit untuk meredah sungai, dan makanan istimewa tempatan iaitu ‘manok lulun’ (bamboo chicken) serta jamuan sihat tengah hari akan menanti peserta sebelum berlepas lewat petang.

Makanan akan disediakan oleh Hip and Healthy dan The Energy Kitchen, manakala itu, kelas kecergasan pula akan dikendalikan oleh Fitness Zone.

Penginapan di Sumbiling Eco Village bukan sahaja menggalakkan kemapanan alam sekitar malahan juga mampu mengekalkan budaya, sosial dan ekonomi.

Sumbiling Eco Village ialah sebuah perkampungan Iban yang terletak di tengah-tengah hutan hujan di hulu Sungai Temburong, di pinggir Kampung Sumbiling Lama.

ARTIKEL YANG SAMA