Program Cahaya Bimbingan Tarteel Al-Quran dirasmi

Program Cahaya Bimbingan Tarteel Al-Quran dirasmi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Program Cahaya Bimbingan Tarteel Al-Quran yang dikendalikan bagi membantu mereka yang tidak mempunyai asas atau kurang mahir dalam pembacaan Al-Quran telah dirasmikan di The Core Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Pengarah Operasi Program, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dalam ucapan alu-aluannya berkata, program dikendalikan oleh beliau bersama dua Pengarah lain, iaitu Pengarah Latihan, Haji Ismail bin Haji Sulaiman dan Pengarah Urusan, Dr Hajah Mona Yati binti Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Kassim.

Tujuan penubuhannya adalah bagi membantu para pegawai dan kakitangan kerajaan yang tidak mempunyai asas atau kurang mahir dalam pembacaan Al-Quran untuk mempelajari dan memantapkannya secara tartil dan tajwid yang betul.

Menurutnya, menerusi tiga peringkat pembelajaran yang menggabungkan beberapa kaedah utama termasuk kaedah Iqra’, Makiyyah dan Madaniah, pengajian yang dicadangkan untuk berlangsung selama tiga minggu (126 jam) waktu bekerja bagi setiap sesi pengajian itu, diharap dapat memberikan para peserta kefahaman bukan sahaja daripada segi teori dan praktis tetapi juga untuk meningkatkannya dari semasa ke semasa.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz melancarkan Program Cahaya Bimbingan Tarteel Al-Quran, kelmarin.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz melancarkan Program Cahaya Bimbingan Tarteel Al-Quran, kelmarin.

Katanya lagi, sasaran program itu adalah pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta serta individu dalam semua peringkat atau bahagian yang dibahagikan kepada tiga kategori program.

Peringkat permulaan adalah bagi peserta yang belum pandai membaca Al-Quran dan akan diterapkan asas belajar Al-Quran dengan menggabungkan tiga kaedah cepat iaitu kaedah Iqra’, kaedah Nooraaniyyah dan Makiyyah.

Sementara itu, peringkat pertengahan adalah bagi para peserta yang akan diterapkan dengan kaedah membaca ayat-ayat lazim atau Juz 30 dan beberapa surah pilihan, ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, peringkat ketiga ialah peringkat pemantapan yang mana peserta bukan saja diterapkan dengan pembacaan ayat-ayat yang panjang mengikut sukat-sukat ayat dalam modul pembelajaran, bahkan diisikan dengan pelajaran asas Tarannum (berlagu), dan untuk peringkat itu sebanyak tiga martabat bacaan akan diajarkan.

Kemuncak atur cara majlis ialah perasmian Program Cahaya Bimbingan Tarteel Al-Quran oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA