Program CBT dirasmikan

Program CBT dirasmikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Menteri-menteri pelancongan, pada Januari 2016, telah menyokong bagi pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025 yang menggariskan pentingnya untuk memastikan pelancongan ASEAN adalah inklusif atau menyeluruh dan mapan serta mampu untuk mengurangkan jurang pembangunan di antara kawasan pedalaman dan bandar rantau berkenaan.

Dalam hubungan itu, program inap desa telah dikenal pasti sebagai memberikan peluang bagi interaksi secara langsung dengan komuniti setempat dalam industri pelancongan serta berpotensi untuk terus dikembang majukan menjadi produk pelancongan yang amat berpotensi dimajukan serta mampu memperkasakan komuniti setempat untuk mengurus perkembangan pelancongan dan mencapai aspirasi komuniti yang berkaitan dengan kesejahteraan mereka termasuk ekonomi, sosial dan pembangunan mapan kawasan sekeliling.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pusat ASEAN-Korea, Kim Young-Sun dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Program Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) ASEAN yang berlangsung di Inap Desa Seri Tanjung, Kampung Sungai Bunga, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian program berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir ialah Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Kim Cho Won Myung; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi Haji Mohammad Ali; Pengarah Jabatan Pembangunan Pelancongan, Haji Zamree Haji Junaidi, penghulu Mukim Kota Batu, pegawai dan kakitangan dari KSSUP serta jemputan lainnya.

Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai dengan para peserta Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN.
Dr Haji Abdul Manaf bergambar ramai dengan para peserta Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN.

Kim Young-Sun berkata lagi, selaras dengan hala tuju utama Agenda Pelancongan ASEAN bagi pembangunan komuniti, Pusat ASEAN-Korea melaksanakan Program CBT ASEAN di bawah tema ‘Belia Menjana Pembangunan Pelancongan Mapan’, yang diharap menerusi pengalaman mereka menyaksikan sendiri pelancongan berasaskan komuniti, mereka dapat menjana idea yang baru dan kreatif bagi pembangunan pelancongan mapan di Brunei dan juga di semua negara anggota ASEAN.

Beliau berkata, para peserta program itu akan menggunakan pelbagai platform termasuk media sosial untuk mempromosikan dengan lebih efektif keindahan Brunei serta yakin akan dapat meningkatkan minat pelancong antarabangsa untuk melancong ke Brunei dan juga meningkatkan pelancongan di kawasan setempat ASEAN.

Pada masa yang sama, beliau percaya penyertaan bersama pelajar-pelajar dari negara-negara ASEAN dan Korea akan memperkayakan lagi pertukaran budaya dan mereka sebagai pemimpin pada masa hadapan, akan berpeluang untuk belajar di antara satu sama yang lain yang akan menjadi aset bernilai bagi mereka di masa akan datang.

Program yang dikendalikan bersama oleh Pusat ASEAN-Korea dan Jabatan Pembangunan Pelancongan, KSSUP itu disertai oleh seramai 22 orang pelajar universiti dari negara-negara anggota ASEAN dan Korea bermula dari 17 hingga 23 Ogos.

Semasa berada di Negara Brunei Darussalam, peserta program berkenaan iaitu terdiri daripada 10 orang pelajar dari negara ASEAN dan 22 orang pelajar dari Korea akan mengalami sendiri pengalaman menyaksikan pembangunan mapan kawasan pedalaman dan ekopelancongan di Inap Desa Seri Tanjung yang telah dianugerahkan Anugerah Standard Inap Desa ASEAN 2016.

Para peserta program itu juga akan berpeluang untuk mempelajari dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan kebudayaan yang dikendalikan termasuk membuat kikik, memancing, menyertai mini regata, memasak makanan tradisional dan mengambil bahagian dalam kegiatan kemasyarakatan seperti menanam pokok dan kegiatan pemuliharaan alam sekitar.

Para peserta juga diberikan tugas mereka sendiri untuk membuat perbincangan dan berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai program berkenaan serta untuk berkongsi idea kreatif bagi mengembangkan lagi pelancongan berasaskan komuniti.

ARTIKEL YANG SAMA