Program cungkil bakat kanak-kanak

Program cungkil bakat kanak-kanak

TAWAU, 1 Okt (Bernama) – Pelbagai program perlu dianjurkan untuk mencungkil bakat dan kebolehan kanak-kanak bermula dari peringkat prasekolah, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisah Samat.

Beliau berkata program seperti pertandingan sesuatu bidang sangat penting dalam usaha pencarian bakat dalam mencari pelapis pelbagai bidang khususnya sukan.

“Perkara itu juga sangat penting agar negara tidak ketandusan generasi pelapis sama ada dari segi kepimpinan, sukan dan bakat yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya pada Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Daerah Tawau, di sini Khamis.

Mengulas mengenai program itu, Hamisah berkata program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni serta menguji kecerdasan minda dikalangan kanak-kanak dan guru.

“Saya berharap program ini mencapai kejayaan seiring dengan objektif yang di gariskan oleh pihak JPNIN Tawau iaitu mencungkil bakat dan potensi kanak-kanak dalam pelbagai aspek perkembangan termasuk dalam bidang membaca, menyanyi dan kreativiti,” katanya.