Program dekati sejarah PSB berakhir

Program dekati sejarah PSB berakhir

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Program Mendekati Sejarah dan Mengenali Arkib 2016 yang berlangsung selama lima hari di Pusat Sejarah Brunei (PSB) di ibu negara telah berakhir hari ini dengan siri ceramah.

Dua tajuk ceramah telah disampaikan iaitu ‘Kebangkitan Militarisme dan Kemasukan Jepun dalam Perang Dunia ke-2’ yang disampaikan oleh Pegawai Kerja, Haji Muhaimin bin Haji Mohamed dan ‘Pengenalan Kepada Penyelidikan di Arkib Negara Brunei Darussalam’ oleh Pegawai Arkib, Dayang Siti Syamiah @ Alaina binti Awang Haji Mohammed.

Semasa ditemu bual, Dayang Siti Syamiah @ Alaina memberitahu isi kandungan siri bicara beliau lebih kepada fungsi dan peranan Arkib Negara.

“Bahan arkib bukan saja untuk sejarah saja tapi bahan lain untuk kegunaan undang-undang, dasar dan lainnya selain berkongsi bagaimana cara untuk datang ke Arkib Negara terutama tatacara apa yang perlu dibuat sebelum datang bagi membuat penyelidikan,” ujarnya.

Dayang Siti Syamiah @ Alaina semasa menyampaikan ceramah beliau di program tersebut.
Dayang Siti Syamiah @ Alaina semasa menyampaikan ceramah beliau di program tersebut.
Haji Muhaimin menyampaikan Siri Bicara ‘Kebangkitan Militrisme dan Kemasukkan Jepun dalam Perang Dunia ke-2.’
Haji Muhaimin menyampaikan Siri Bicara ‘Kebangkitan Militrisme dan Kemasukkan Jepun dalam Perang Dunia ke-2.’

Menurutnya lagi, Arkib Negara pada masa ini masih berusaha untuk menyebar luaskan peranannya kerana ia mempunyai dua bahagian teras yang berbeza iaitu Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Arkib.

“Siri bicara hari ini lebih kepada memberi pendedahan mengenai rekod yang disimpan di Arkib Negara, yang dibuka untuk kunjungan orang ramai bukan hanya untuk penyelidik dan pegawai kerajaan saja,” tambahnya.

Program yang julung kalinya diadakan itu dianjurkan oleh Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Arkib Negara, Jabatan Muizum-Muizum, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Aktviti ini sejajar dengan usaha pusat berkenaan ke arah mendekatkan sejarah bangsa dan negara kepada jabatan-jabatan kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat umum di negara ini terutamanya generasi muda.

Sepanjang program lima hari itu, pelbagai aktiviti telah diadakan yang menjadikannya lebih berinformasi, menarik dan menyeronokkan.

ARTIKEL YANG SAMA