Program Hari Menabung 4 Mei

Program Hari Menabung 4 Mei

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan melancarkan Program Hari Menabung Kebangsaan 2016 pada 4 Mei ini dengan tema ‘Generasi Celik Kewangan.”

Ini merupakan kali kedua AMBD menganjurkan Hari Menabung Kebangsaan sejak pelancarannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD pada 28 Mei tahun lalu.

AMBD dalam satu kenyataan berkata, tema program pada tahun ini dipilih untuk mencerminkan matlamat membangunkan generasi yang berkemahiran dan pandai berdikari dari segi kewangan. Ianya juga dihasratkan untuk menyumbang kepada matlamat Wawasan Brunei 2035 bagi Negara Brunei Darussalam untuk mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan, serta rakyat dan penduduk yang berkemahiran.

Menurut AMBD, beberapa acara dan aktiviti telah dirancang dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP), Kementerian Pendidikan dan pihak-pihak yang berkaitan, dengan tumpuan utama terhadap generasi muda.

Beberapa acara dan aktiviti interaktif akan diadakan melalui jerayawara di sekolah-sekolah rendah di keempat-empat daerah. Jerayawara berkenaan akan mengetengahkan aktiviti-aktiviti yang bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan matawang.

Pada Ahad, 22 Mei, Financial Fun Fair juga akan diadakan di Taman Permainan Jerudong di mana pelbagai aktiviti interaktif mengenai pengurusan kewangan yang berhemah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan matawang daripada pihak AMBD, TAP dan institusi-institusi serta agensi-agensi yang berkaitan akan terus diadakan dan akan dibukakan kepada orang ramai.

Di samping itu, acara-acara lain yang dirancang adalah Financial Planners’s Day yang dianjurkan oleh Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM), sebuah institusi latihan di bawah AMBD pada hari Khamis, 26 Mei 2016; dan Financial Planners’ Showcase pada hari Sabtu, 28 Mei 2016.

Maklumat lanjut mengenai dengan Hari Menabung Kebangsaan 2016, boleh didapati dengan melayari laman web www.ambd.gov.bn atau emel corpcomms@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA