Program Jalinan Kasih Belia ke-5 di Belait

Program Jalinan Kasih Belia ke-5 di Belait

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 7 Julai –Sebanyak 10 keluarga mendapat perhatian para belia dan menerima barang keperluan asas untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juadah berbuka puasa melalui Program Jalinan Kasih Belia Ke-5 2015 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Daerah Belait, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Program Jalinan Kasih Belia Ke-5 ini merupakan salah satu program tahunan JBS bertujuan mendedahkan para belia di negara ini amnya dan di Daerah Belait khasnya di kawasan Sungai Liang dan Lumut bagi memupuk rasa tanggungjawab dan kebersamaan sesama manusia dengan mengungkayahkan kegiatan-kegiatan berkebajikan terhadap keluarga dan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Hadir selaku ketua rombongan ialah Pemangku Ketua Cawangan JBS Daerah Belait, Dayang Norainah binti Haji Abdul Hadi. Juga hadir memberikan bantuan ialah rombongan daripada pegawai dan kakitangan JBS, dan Pengurus Am bagi Adison Marketing, Awang Sim Chong Siang.

Keluarga yang memerlukan bantuan ini adalah terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan, orang-orang berkeperluan khas, ibu tunggal dan anak-anak yatim kurang berkemampuan yang memerlukan sedikit perhatian daripada masyarakat terutamanya golongan belia bagi sama-sama menikmati kebahagiaan menyambut bulan Ramadan yang mulia ini serta menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Antara anggota sukarelawan yang hadir untuk membantu menderma barang-barang keperluan asas tersebut.
Antara anggota sukarelawan yang hadir untuk membantu menderma barang-barang keperluan asas tersebut.

Dalam program tersebut, lebih 20 orang sukarelawan belia dari Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Persatuan Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan belia-belia terdiri dari JBS Cawangan Daerah Belait sendiri menyertai program berkenaan untuk mengagihkan barang sumbangan makanan asasi yang diperolehi daripada orang ramai seperti beras, gula, minuman, roti, kuih raya dan termasuklah juga barang-barang keperluan asas yang lainnya yang ditaja oleh Jaya Hypermart.

Menurut salah seorang penyelaras program itu, Awang Muhd Amirul Syazmie bin Ibrahim, program tersebut diharap dapat menggalakkan golongan belia bagi sama-sama menanamkan rasa kesedaran dan keprihatinan serta pemedulian kepada masyarakat yang memerlukan bantuan melalui kerja-kerja amal dan sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan.

ARTIKEL YANG SAMA