Program Jalinan Mesra kukuh kemesraan

Program Jalinan Mesra kukuh kemesraan

TEMBURONG, 12 Ogos – Daerah Temburong kini semakin dikenali bukan sahaja kerana cendol dan udang galahnya tetapi juga produk-produk anyaman yang dihasilkan ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) yang mendapat perhatian dalam kalangan pengunjung dalam dan luar negara.

Ini dinyatakan oleh Penghulu Mukim Bokok, Haji Emran bin Haji Sabtu semasa mengalu-alukan peserta Program Jalinan Mesra Penerangan ke Mukim Bokok di sini, kelmarin.

Program ini dikendalikan oleh Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dan Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Temburong.

Rombongan Jabatan Penerangan diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Jabatan Penerangan Daerah Temburong, Pengiran Ikram bin Pengiran Haji Ahmad,  ketua Unit Hubungan  Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dan beberapa orang pegawai dan kakitangan jabatan itu.

Hajah Noorashidah ketika menyampaikan ucapan di majlis Jalinan Mesra Penerangan di kediaman Awang Alli di Kampung Rataie.
Hajah Noorashidah ketika menyampaikan ucapan di majlis Jalinan Mesra Penerangan di kediaman Awang Alli di Kampung Rataie.
Antara penduduk kampung yang turut hadir di majlis Jalinan Mesra itu.
Antara penduduk kampung yang turut hadir di majlis Jalinan Mesra itu.

Rumah penghulu Mukim Bokok, menjadi destinasi pertama rombongan tersebut, diikuti dengan rumah Ketua Kampung Rataie, Awang Alli bin Radin dan rumah Ketua Kampung Bokok, Haji Jaman bin Haji Arsad sebelum berakhir dengan acara beramah mesra bersama Ketua Kampung Lepong Baru, Awang Ambol anak Bakit dan saudara-saudara baru di Rumah Bahagia Kampung Semabat, Jalan Temada, Daerah Temburong.

Program tahunan ini diadakan di keempat-empat daerah yang berkonsepkan ramah mesra  dengan tujuan untuk mengeratkan tali silaturahim serta memperkukuhkan jalinan hubungan baik antara kedua dua belah pihak antara warga Jabatan Penerangan dengan Institusi Penghulu Mukim dan Kampung serta masyarakat setempat.

Di samping itu juga program ini dapat mengongsikan maklumat yang berkaitan dengan kenegaraan serta mendapatkan isu-isu hal ehwal kampung dan penduduknya. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

ARTIKEL YANG SAMA