Program Jalinan Mesra Penerangan ke Mukim Liang

Program Jalinan Mesra Penerangan ke Mukim Liang

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 13 Ogos – Mukim Liang menjadi tumpuan Program Jalinan Mesra Penerangan, Eratkan Hubungan Masyarakat di Bulan Syawal bagi Daerah Belait tahun ini, dengan destinasi kunjungan pertama kediaman Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin di Kampung Lumut di sini, hari ini.

Mengetuai rombongan program anjuran Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait serta Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan Jabatan Penerangan itu ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

Hadir sama ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar, ketua cawangan penerangan Daerah Belait, ketua Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan serta beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Program yang dikendalikan dengan kerjasama penghulu, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di bawah tadahan Mukim Liang itu merupakan aktiviti tahunan Jabatan Penerangan, yang diadakan di keempat-empat daerah dengan berkonsepkan ramah mesra. Ia antara lain bertujuan untuk mengukuhkan perasaan harmoni, mesra dan hormat menghormati antara warga Jabatan Penerangan dengan institusi penghulu mukim dan ketua kampung serta anggota masyarakat sesebuah mukim dan kampung di samping berkongsi maklumat terkini berkaitan dengan projek kerajaan dan sebagainya.

Rombongan Program Jalinan Mesra Penerangan bergambar ramai bersama Penghulu Mukim Liang, di kediamannya kelmarin.
Rombongan Program Jalinan Mesra Penerangan bergambar ramai bersama Penghulu Mukim Liang, di kediamannya kelmarin.

Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya telah merakamkan penghargaan dan terima kasih, atas kunjungan melalui program berkenaan, yang mana sedikit sebanyak telah memberikan peluang berinteraksi penduduk kampung dengan pegawai-pegawai di jabatan tersebut.

Kemudian, rombongan meneruskan kunjungan ke kediaman Ketua Kampung Lumut II, Haji Abdul Rahman bin Hashim di Kampung Sungai Taring Lumut II.

Diikuti kemudiannya kunjungan ke kediaman Pemangku Ketua Kampung Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian dan kunjungan akhir adalah di kediaman Ahli Majlis Mesyuarat Negara, selaku Ketua Kampung Lumut I, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad di Kampung Sungai Bakong Lumut.

Selain berkesempatan beramah mesra, kunjungan turut diceriakan lagi dengan menikmati jamuan yang disediakan oleh tuan-tuan rumah yang dikunjungi sebagai tanda penghormatan dan mengalu-alukan kunjungan mesra dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

ARTIKEL YANG SAMA