Program Jejak Ehsan bantu Adik Nur Nazihah

Program Jejak Ehsan bantu Adik Nur Nazihah

Oleh Hajah Saemah Kepli

HIMPUNAN Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) meneruskan Program Jejak Ehsan dengan mengunjungi Adik Nur Nazihah binti Rosli, yang sedang dirawat di Unit Pediatrik Akut, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) baru-baru ini.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat, Dayang Kartini Abdul Manap dan beberapa barisan Exco, Majlis Tertinggi dan Setiausaha Agung serta anggota JASA pertubuhan tersebut.

Kunjungan berkenaan bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat lagi akan keadaan Adik Nazihah yang mengalami penyakit Sawan (Aplipsi) yang mana baru-baru ini telah dise-barluaskan melalui aplikasi sosial mengenai masalah kedua ibu bapanya, yang pada masa ini tiada mempunyai pendapatan tetap.

Program Jejak Ehsan bersempena menjelangnya bulan Ramadan itu diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada ibu bapa adik Nur Nazihah, Awang Rosli bin Alan dan Dayang Siti Ajijah binti Awang Hassan.

Dengan penuh rasa kasih sayang seorang ibu tetap tabah dan sabar menjaga anak perempuan mereka Adik Nur Nazihah yang kini di rawat di RIPAS.
Dengan penuh rasa kasih sayang seorang ibu tetap tabah dan sabar menjaga anak perempuan mereka Adik Nur Nazihah yang kini di rawat di RIPAS.

Adik Nur Nazihah, telah disahkan mengalami penyakit Sawan sejak berusia, 3 tahun, apabila ibu adik Nur Nazihah membawanya ke bahagian kecemasan kerana demam panas.

Pada masa ini keadaannya semakin serius dan pernafasan sepanjang waktu mengharapkan penggunaan mesin oksigen yang dibekalkan pihak hospital dan baru-baru ini menggunakan mesin yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah.

Menurut ibunya, Dayang Siti Ajijah, anaknya itu menerima bantuan kebajikan berjumlah $330 sebulan dan ia adalah ke-perluan bagi pembelian dua jenis susu iaitu Ensure dan Omega, berserta keperluan membeli lampin pakai buang orang dewasa.

Beliau turut menambah, suaminya dulu bekerja sebagai mekanik, di sebuah syarikat swasta, terpaksa berhenti kerana membantu menjaga anak mereka itu, menyebabkan pasangan itu tiada mempunyai pendapatan tetap.

Pasangan berkenaan juga turut menyara dua orang anak lelaki mereka dan masih belum bekerja kerana belum cukup umur.

Bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga seramai lima orang, suaminya terpaksa pergi ke hutan mencari sayur untuk dijual secara kecil-kecilan dan untuk hidangan mereka sekeluarga, bagaimanapun dakwa Dayang Siti Ajijah, kadang-kadang wang bantuan anaknya terpaksa digunakan sedikit untuk membeli makanan buat me-reka sekeluarga.

“Saya hanya berharap bantuan bagi keperluan anak saya yang sakit seperti susu dan lampinnya, dan saya tidak pernah terlibat menyebarluaskan cerita kesusahan hidup kami, ia adalah insiatif hamba Allah yang pernah membantu kami.

Alhamdulillah, sejak viral dalam aplikasi sosial Watsapp, kisah anak saya ini, ada juga yang telah datang menghulurkan bantuan seperti keperluan asasi dan juga keperluan anaknya” ujarnya.

Adik Nur Nazihah sering keluar masuk hospital, kemudian di masukkan lagi ke hospital untuk selama dua minggu.

Begitulah kehidupannya pada masa ini, dan sebagai ibu bapa, mereka hanya mampu memberikan yang terbaik menjaga anak mereka yang sakit, diiringi dengan doa dan harapan agar diringankan penderitaan anak mereka itu, yang kini berat badanya sudah semakin susut daripada 36 kepada 32 kilogram.

ARTIKEL YANG SAMA