Program Jejak Ehsan bantu kurang berkemampuan

Program Jejak Ehsan bantu kurang berkemampuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Dis – Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) dengan kerjasama Badan Perhubungan NDP Daerah Belait telah meneruskan Program Jejak Ehsan dengan mengunjungi sebuah keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Berek Mumong di sini, hari ini.

Melalui program tersebut, rombongan yang telah diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat, Dayang Kartini binti Abdul Manap dan disertai sama oleh Naib Presiden NDP Daerah Belait, Haji Metali bin Haji Ibrahim serta beberapa orang ahli jawatankuasa mereka, telah menyampaikan sumbangan berupa keperluan asasi kepada keluarga berkenaan yang pada masa ini tinggal di Berek 773, STKRJ Kampung Mumong.

Ketua keluarga seramai tujuh orang itu, Awang Musa bin Zainal, 42, hanya bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat tempatan, dan lima anaknya yang berusia di antara lima hingga 13 tahun masih bersekolah, manakala itu, isterinya Dayang Suziana binti Abdul Kadir, 29, hanya seorang suri rumah.

Awang Musa mendakwa, setelah dia terpaksa membayar hutang kereta, gajinya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga hingga ke hujung bulan, tambahan lagi gajinya sering keluar lewat antara 6 hingga 10 haribulan pada setiap bulan.

Perwakilan daripada HAWA NDP bergambar ramai bersama sebuah keluarga yang dibantu semasa kunjungan tersebut.
Perwakilan daripada HAWA NDP bergambar ramai bersama sebuah keluarga yang dibantu semasa kunjungan tersebut.

Keluarga berkenaan pada masa ini, tinggal menumpang di berek kerajaan, setelah rumah yang mereka sewa di Kampung Mumong roboh dalam kejadian yang berlaku Mei lalu dan kediaman mereka pada masa ini, langsung tidak mempunyai sebarang perabot dan kemudahan bagi keluarga itu.

Menurut Awang Musa, mereka telah pernah menghadapkan permohonan bantuan kepada pihak berkenaan pada September 2014, tetapi sehingga kini belum mendapat jawapan, permohonannya adalah untuk mendapatkan bantuan makanan asasi dan belanja persekolahan anak-anaknya.

Anak lelaki sulungnya, 13, belajar dalam Tahun 7 di Sekolah Menengah Sekolah Menengah Sayyidina Ali, manakala anak kedua hingga keempat yang juga lelaki, masing-masing berusia 11, sembilan dan tujuh tahun, bersekolah di Sekolah Rendah Kuala Belait dalam Tahun 6, 4, dan 2, sementara itu, anak bongsu mereka berusia lima tahun akan mula bersekolah awal tahun depan di sekolah yang sama.

“Memandangkan pendapatan saya kecil, saya hanya dapat membeli persiapan sekolah anak-anak semampunya, selain terpaksa menunggu gaji saya yang keluar lambat,” kata Awang Musa.

ARTIKEL YANG SAMA