Program JENESYS peluang teroka idea-idea baru

Program JENESYS peluang teroka idea-idea baru

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Jepun terus memberikan komitmen dan menghulurkan bantuan kepada Negara Brunei Darussalam dalam usaha negara untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta untuk menjana peluang pekerjaan.

Di samping itu, Jepun juga meningkatkan lagi usaha dan sokongannya untuk meningkatkan jumlah syarikat dari Jepun untuk membuat pelaburan dan mengadakan perniagaan mereka di Brunei.

Pada masa yang sama, Jepun juga meneroka peluang-peluang baru untuk menyokong usaha pembangunan sumber manusia dan latihan vokasional bagi meningkatkan peluang-peluang pekerjaan.

Dalam hubungan itu, Program JENESYS: Industri Perikanan dan Pemprosesan Besi merupakan program pertukaran direka khas untuk memenuhi keperluan dan hasrat berkenaan, jelas Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bagi Peserta-peserta Program Pertukaran Sosial JENESYS: Industri Perikanan dan Pemprosesan Besi yang berlangsung di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kiulap, hari ini

Beliau menyatakan harapan supaya program itu akan terus memberikan sumbangan kepada usaha Brunei untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan.

Puan Yang Terutama Noriko Iki bergambar ramai bersama para peserta Program Pertukaran Sosial JENESYS: Industri Perikanan dan Pemprosesan Besi.
Puan Yang Terutama Noriko Iki bergambar ramai bersama para peserta Program Pertukaran Sosial JENESYS: Industri Perikanan dan Pemprosesan Besi.

Program itu juga merupakan program pertama bagi Brunei yang melibatkan penyertaan peserta dewasa yang bekerja yang berbeza daripada program-program JENESYS terdahulu yang mana ia menumpukan kepada penyertaan penuntut-penuntut sahaja.

Mengulas mengenai matlamat Program JENESYS, Puan Yang Terutama berkata, ia dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara Jepun dan rakan-rakan di rantau Asia Pasifik serta untuk mempromosikan kefahaman terhadap masyarakat, sejarah, budaya, politik dan hubungan diplomatik Jepun.

Beliau yakin penyertaan para peserta dari Negara Brunei Darussalam dalam program itu bukan sahaja akan mengeratkan hubungan persahabatan dan kefahaman di antara Jepun dan Brunei tetapi juga akan memberikan ilmu pengetahuan yang berguna yang boleh dimanfaatkan bagi pembangunan ekonomi dan industri negara.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Chin Wei Kei dalam kata alu-aluannya pada majlis berkenaan menyatakan penghargaan kepada kerajaan Jepun dan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam atas sokongan dan jemputan bagi kakitangan dan penuntut-penuntut di bawah IBTE untuk menyertai program lawatan sambil belajar JENESYS itu.

Beliau yakin penyertaan para peserta dalam program berkenaan amat sesuai dengan usaha negara untuk mempelbagaikan ekonomi khususnya dalam bidang perikanan dan pemprosesan besi di mana ia merupakan salah satu bidang ekonomi yang boleh diterokai oleh negara.

Dalam hubungan itu, beliau melahirkan harapan agar para peserta yang menyertai program itu akan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan semasa lawatan ke tempat-tempat industri perikanan dan pemprosesan besi di Jepun untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan mereka, menimba ilmu baru serta untuk membawa pulang idea-idea baru itu bagi memajukan industri berkenaan di Brunei.

Salah seorang peserta program berkenaan, Pegawai Perikanan, Jabatan Perikanan, Dayang Noor Dafinah Haji Jelani dalam wawancara ringkas bersama Media Permata menyatakan harapan menerusi lawatan itu nanti, mereka bukan sahaja akan dapat mempelajari mengenai budaya masyarakat Jepun tetapi juga mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai industri perikanan Jepun.

Beliau berharap, semasa lawatan itu, mereka dapat mempelajari mengenai dengan usaha pemuliharaan perikanan Jepun, kaedah-kaedah pemprosesan dan pembungkusan industri perikanan Jepun kerana negara itu merupakan salah sebuah negara penghasil dan pengimport produk perikanan yang berkenal serta moden.

Selain itu, beliau turut menyatakan harapan bahawa melalui lawatan itu nanti, mereka dapat mempelajari mengenai strategi perikanan yang dilaksanakan oleh Jepun di mana ia mungkin boleh digunakan bagi memantapkan lagi strategi perikanan di Brunei.

Dayang Noor Dafinah juga percaya, Program JENESYS merupakan satu program yang amat berguna dan peluang yang baik bagi para peserta program bukan sahaja untuk melihat dengan lebih dekat mengenai perkembangan terkini dalam industri berkenaan tetapi juga peluang untuk membuka minda dan mempelajari ilmu pengetahuan baru yang boleh dimanfaatkan di Brunei.

Manakala itu, salah seorang peserta dari Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah, dalam Jurusan Diploma Akuakultur dan Perikanan, Awang Khairul Nidzam bin Awang Matserudin berkata, penyertaan dalam program itu merupakan peluang terbaik baginya serta rakan-rakan untuk mempelajari dengan lebih terperinci mengenai teknik perikanan moden yang dilaksanakan oleh Jepun.

Beliau menjelaskan bahawa mereka banyak mempelajari teori perikanan dari Jepun tetapi melalui lawatan itu, mereka berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat mengenai proses perikanan moden di Jepun terutama dalam industri pemeliharaan ikan perhiasan yang diharap dapat dilaksanakan dan dimajukan di Brunei.

Program Pertukaran Sosial JENESYS: Industri Perikanan dan Pemprosesan Besi itu disertai oleh seramai 23 orang peserta yang terdiri daripada seramai 11 orang pegawai dan kakitangan dari IBTE, Jabatan Perikanan dan sektor swasta serta 12 orang penuntut dari Sekolah Vokasional Wasan dan Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah.

Para peserta program itu dijadualkan untuk berlepas ke Jepun pada 21 Februari dan kembali ke Brunei pada 1 Mac nanti. Semasa menyertai program itu, mereka akan berada di Wilayah Wakayama di mana peserta-peserta kumpulan perikanan akan mengadakan lawatan ke Stesen Ujian Perikanan Wilayah Wakayama, makmal-makmal perikanan dan melawat serta mempelajari mengenai teknik-teknik pemprosesan dan pembungkusan produk perikanan.

Manakala itu, peserta kumpulan pemprosesan besi pula akan mengadakan lawatan ke Nippon Steel & Sumitomo Metal Corporation serta kilang-kilang pemprosesan besi tempatan di wilayah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA