Program Jualan Amal bantu anak yatim

Program Jualan Amal bantu anak yatim

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 Julai – Sebagai salah satu usaha untuk membantu kalangan anak-anak yatim yang belajar di sekolah mereka, Sekolah Rendah Lumut telah mengadakan Program Jualan Amal selama dua hari yang diadakan di sekolah tersebut sempena menjelangnya Hari Raya Aidilfitri.

Jualan amal dengan tema “Membeli Sambil Beramal” itu melibatkan penyertaan guru-guru, ibu bapa dan para pelajar sekolah dengan menyediakan kira-kira sepuluh petak meja jualan pelbagai jenis barangan, majoritinya makanan termasuk juadah untuk berbuka puasa dan beberapa kuih-muih hari raya.

Semasa ditemui Media Permata, Penolong Guru Besar Sekolah Rendah Lumut, Dayang Alitta binti Abet menyatakan, jualan amal tersebut merupakan yang pertama kali diadakan di bulan Ramadan, dan ia berbentuk percubaan dan dirancang untuk diadakan secara berterusan di tahun-tahun akan datang.

Menurutnya, hasil daripada jualan itu akan disumbangkan kepada enam orang anak yatim yang belajar di sekolah tersebut, dan pengagihannya akan diadakan setelah selesai jualan berkenaan.

“Dengan adanya sumbangan derma itu nanti, pihak sekolah berharap ia akan dapat membantu meringankan beban penjaga pelajar-pelajar anak yatim dalam membuat persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA