Program keagamaan senegara

Program keagamaan senegara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Mac – Program Keagamaan Senegara anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI), bagi merealisasikan rancangan strategik untuk meningkatkan peratus pelajar mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah Arab dan agama, telah diteruskan lagi hari ini dengan tema bagi bulan Mac adalah ‘Wahai Pelajar-Pelajar Solatlah, Bagaimana Mentaatinya?’.

Bagi Daerah Belait, pusat tumpuan program bulan ini diadakan di Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) Belait dengan melibatkan penyertaan murid-murid Darjah 1, 4, 5 dan 6 sekolah tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Kokurikulum JPI, Awang Shahrin bin Haji Abdul Razak dan para pegawai dari Bahagian Kokurikulum serta Pejabat Pengajian Islam Belait.

Memulakan acara program adalah penyampaian Tazkirah oleh Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama SOAS, Awang Hafiq bin Zainuddin, yang telah menyentuh tentang solat yang wajib ditaati, selain menekankan peranan ibu bapa untuk menyuruh anak-anak mereka dalam melaksanakan kewajiban bersolat.

Pelajar-pelajar yang menyertai program berkenaan.
Pelajar-pelajar yang menyertai program berkenaan.
Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Hafiq.
Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Hafiq.

Katanya, ibu bapa serta penjaga menjadi contoh teladan terlebih dahulu kepada anak-anak, dan mereka juga perlu mengamalkan mengajak anak-anak untuk solat berjemaah, mendoakan anak-anak untuk mendengar kata kedua ibu bapa, mengajak anak-anak untuk berjemaah ke masjid atau surau dan melazimkan anak-anak untuk mengerjakan solat lima waktu di samping solat-solat sunat.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Asmaul Husna dan ayat-ayat lazim beramai-ramai sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Program keagamaan senegara ini juga dihasratkan bagi melahirkan pelajar yang mempunyai akidah kukuh dan akhlak mulia melalui program pendidikan kokurikulum, serta melibatkan semua pelajar mengikut program penghayatan beragama.

ARTIKEL YANG SAMA