Program Keagamaan Senegara bagi bulan Jun

Program Keagamaan Senegara bagi bulan Jun

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Hajah Saemah Kepli

Gambar oleh Muiz Matdani & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, meneruskan lagi Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi bulan Jun 1436H/2015M di keempat-empat daerah, hari ini, dengan tema “Memperbaiki Kualiti dan bersungguh-sungguh dalam Sembahyang.”

Di Daerah Brunei dan Muara, program tertumpu di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (SU PAP) Masna; di Daerah Tutong ia diadakan di Sekolah Ugama Penanjong; Daerah Temburong di Sekolah Ugama Amo; manakala di Daerah Belait, program berlangsung di Sekolah Ugama Sungai Liang dan di Sekolah Arab Belait.

Di SU PAP Masna, hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Rusita binti Haji Yahya.

Tazkirah mengenai tema bulan ini telah disampaikan oleh Awang Abdul Mu’ez bin Misli yang turut membacakan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Antara yang disentuh dalam tazkirah berkenaan adalah mengenai memperbaiki kualiti sembahyang termasuk mengerjakannya dengan baik, teliti, tetap dan ikhlas kerana Allah SWT selain juga mengingatkan supaya setiap umat Islam mengerjakannya dengan bersungguh-sungguh serta khusyuk.

Lebih 20 guru terlibat dalam program yang diadakan di Sekolah Arab Belait, kelmarin.
Lebih 20 guru terlibat dalam program yang diadakan di Sekolah Arab Belait, kelmarin.
Di Daerah Brunei dan Muara, Program Keagamaan Senegara bagi bulan ini diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna.
Di Daerah Brunei dan Muara, Program Keagamaan Senegara bagi bulan ini diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna.

pg05_150623_b

Awang Abdul Mu’ez dalam tazkirahnya menyeru supaya sembahyang didirikan dengan penuh kesedaran dan supaya umat Islam melihat akan cermin sembahyang masing-masing.

Menurut beliau, usaha menjaga dan memperbaiki sembahyang perlu bermula di usia muda supaya semua terlatih dan terbiasa serta mampu menyempurnakan segala kewajipan dan rukun sembahyang dengan sebaik mungkin.

Majlis turut diisikan bacaan Surah Yasin dan tahlil serta doa arwah yang dipimpin salah seorang guru, Awang Mohd Miqalad Hafiz bin Haji Sadini.

Sementara itu, program yang berlangsung di Surau Sekolah Arab Belait, dihadiri oleh seramai 179 pelajar Tahun 5 hingga 8, serta 23 guru sekolah berkenaan.

Seperti di lokasi-lokasi lain, program di sekolah ini diisikan dengan tazkirah mengenai tema bulan ini yang telah disampaikan oleh Awang Sawardi bin Haji Mahadi.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang telah dipimpin oleh pelajar Tahun 8, Awang Abdul Khaliq bin Saifullizan.

Sementara itu, bacaan tahlil dan doa arwah dipimpin oleh Awang Nazirul Amin bin Roslan juga pelajar Tahun 8 dan diakhiri dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Awang Sawardi.

Para pelajar Sekolah Arab Belait yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi bulan Jun, yang membawa tema ‘Memperbaiki Kualiti dan bersungguh-sungguh dalam Sembahyang’.
Para pelajar Sekolah Arab Belait yang menyertai Program Keagamaan Senegara bagi bulan Jun, yang membawa tema ‘Memperbaiki Kualiti dan bersungguh-sungguh dalam Sembahyang’.

pg05_150623_e

Program seperti itu dihasratkan dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar dan murid kepada pengalaman hidup yang sebenar dalam keluarga dan masyarakat serta memberi keyakinan terhadap beragama bagi menyokong pengisian hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.

Ia bermatlamat untuk melahirkan Al-Insan As Saleh, selain pendidikan yang seimbang dan sempurna dengan sentiasa memberi penekanan kepada kedua-dua aspek, iaitu kurikulum dan gerak kerja kokurikulum, yang bermakna seorang pelajar itu diberi pendidikan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, fizikal dan rohani.

Program ini bukan sahaja untuk mengasah minda pelajar bahkan berperanan untuk membentuk sahsiah para pelajar, penglibatan pelajar secara menyeluruh dan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti yang dijalankan membolehkan mereka menimba pengalaman.

Di samping itu, ia juga bagi meningkatkan keterlibatan guru-guru agama khususnya dalam aktiviti kokurikulum, ini mendorong mereka menghadapi dunia sebenar apabila mereka bergaul dengan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA