Program Kebajikan dilancarkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Dalam usaha melahirkan pelajar puteri yang bersemangat waja, sedia memimpin dan berkhidmat kepada masyarakat, hari ini Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri (SM PAP) Hajah Masna telah mengadakan Majlis Pelancaran Program Kebajikan yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Antara objektif program ini diadakan adalah bagi memastikan pelajar-pelajar Tahun 10 sekolah berkenaan diberikan pendedahan awal dalam melakukan aktiviti-aktiviti kesukarelawan, menanam sikap suka membantu kepada masyarakat dan seterusnya memperkaya pengalaman diri yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan program berkenaan ialah Pemangku Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Zaiton binti Haji Damit.

Seramai 140 orang pelajar Tahun 10 akan terlibat dalam Program Kebajikan berkenaan yang akan berjalan sehingga bulan September 2018.

Hajah Zaiton Ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kebajikan di sekolah berkenaan.
Antara ibu bapa serta penjaga pelajar bersama pelajar Tahun 10 yang menghadiri majlis berkenaan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan taklimat serta penerangan mengenai program berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kerjaya dan Komiti Bahagian Kerjaya SM PAP Hajah Masna, Dayang Siti Rauufah binti Haji Omarali dan Dayang Jalilah binti Haji Jali.

Sebanyak 12 buah agensi terlibat dalam menjayakan program berkenaan yang terdiri daripada pelbagai agensi dan persatuan di negara ini termasuk BruRosa, SCOT, Belia Masjid Ash-Shaliheen, KACA, Projek Bina Ukhuwah, Save Kampong Ayer Project, Green Brunei, WeCare, KESAN, SMARTER, Majlis AIDS Brunei dan V-FAST (Volunteer & First Aid Support Team).

Program Kebajikan itu merupakan program yang diungkayahkan oleh bahagian kerjaya sekolah berkenaan.