Program kesedaran guna elektrik di Timur Sabah

Program kesedaran guna elektrik di Timur Sabah

SANDAKAN, 13 Sept (Bernama) – Suruhanjaya Tenaga Pantai Timur Sabah memberi tumpuan kepada program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan penggunaan tenaga elektrik dengan bijak dan selamat.

Pegawai Eksekutifnya Muhammad Syafiq Kadiran berkata ia dilakukan menerusi penganjuran pameran keselamatan yang dianjurkan di beberapa buah lokasi di daerah timur negeri ini.

Katanya agensi berkaitan lain turut dilibatkan antaranya Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Tenaga Nasional Berhad Remaco, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut.

“Penggunaan elektrik secara bijak dan selamat perlu ada dalam kalangan pengguna elektrik agar mereka dapat berjimat dalam penggunaan elektrik,“ katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pameran keselamatan itu yang disempurnakan oleh Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Timur Sabah, Mohd Yusrul Yusof di sini, Sabtu.

Pameran dua hari hingga esok diadakan di perkarangan Harbour Mall di Bandar Sandakan.

Muhammad Syafiq berkata menerusi program itu, pelajar dari institusi pendidikan dan sekolah menengah dijemput bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang hala tuju yang boleh diceburi mereka setelah tamat persekolahan khususnya dalam bidang elektrik.