Program kesedaran H.A.P.P.Y

Program kesedaran H.A.P.P.Y

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 31 Julai – Dalam usaha menyebarluaskan pengetahuan bagi mengurangkan merebaknya penyakit hubungan kelamin di Negara Brunei Darussalam, Majlis AIDS kelmarin telah menganjurkan Program Kesedaran H.A.P.P.Y (HIV Awareness Programme for Peers and Youth) di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong.

Kira-kira 200 orang pelajar dari PTE Tutong menghadiri program kesedaran H.A.P.P.Y itu yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam, Awang Iswandy Ahmad.

Antara isi kandungan program dijalankan adalah sesi suai kenal, kuiz HIV, memberi penerangan mengenai HIV dan AIDS, bagaimana HIV merebak dan bagaimana mengelakkannya, statistik dunia dan Brunei Darussalam mengenai penyakit HIV dan banyak lagi.

Selesai sahaja program dijalankan, penyampaian cenderahati kepada Yang Di-Pertua Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam telah disampaikan oleh Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.

Program jerayawara ini adalah bersifat bengkel mini yang diadakan sekitar dua jam setengah, yang mana merupakan salah satu projek berterusan oleh Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam yang pernah memenangi Commonwealth Silver Award2007/2008 serta Pingat Perak dalam Pertandingan B-@ktif 2008 anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hajah Murni menyampaikan cenderahati kepada Awang Iswandy Ahmad.
Hajah Murni menyampaikan cenderahati kepada Awang Iswandy Ahmad.
Semasa sesi kuiz yang dijalankan dan taklimat disampaikan oleh Awang Iswandy Ahmad (kiri).
Semasa sesi kuiz yang dijalankan dan taklimat disampaikan oleh Awang Iswandy Ahmad (kiri).

Projek ini juga telah berkerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan yang mana antara objektif program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya penyakit HIV dan AIDS, serta mendorong perubahan sikap para pelajar agar mereka dapat bersikap lebih selamat dan membuat pilihan yang bijak.

Di samping itu, program ini juga dapat membantu kumpulan sasaran khususnya belia-belia untuk membuat pilihan rasional di dalam isu-isu sosial terutama pergaulan bebas, penyakit kelamin dan kehamilan remaja serta menyebarluaskan pengetahuan peserta kepada rakan sebaya.

Program H.A.P.P.Y ini sudahpun berjalan dari tahun 2005 dan telah mencapai lebih dari 80 buah tempat yang menyasarkan kepada 4000 belia dan penuntut di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA