Program KJG S’wak Ogos ini suntik patriotisme

Program KJG S’wak Ogos ini suntik patriotisme

KUCHING, 28 Julai (Bernama) – Program Kembara Jalur Gemilang (KJG) di Sarawak akan dibahagikan kepada tiga fasa membabitkan tarikh cukup signifikan kepada negara, yang berkait rapat dengan semangat patriotisme.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Sarawak Helmy Hamid berkata fasa pertama program membabitkan pergerakan konvoi dari Serian pada 1 Ogos dan tamat di Padang Merdeka di sini tujuh hari kemudian.

Beliau berkata bagi fasa pertama, konvoi akan tiba di Padang Merdeka pada 8 Ogos, tempat berlangsung sambutan Bulan Kebangsaan yang dijadualkan akan turut dihadiri ramai pemimpin negara.

Katanya lebih ramai peserta dijangka memeriahkan majlis pelancaran KJG yang disusun di Kuching pada hari berkenaan, termasuk pembabitan 40 motosikal berkuasa tinggi serta 40 peminat acara berbasikal.

“Sudah lebih 10 tahun kami anjurkan program ini, setiap tahun kami usahakan supaya lebih meriah berbanding tahun sebelumnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mesyuarat pelaksanaan KJG di bilik mesyuarat Jabatan Penerangan di sini hari ini.