Program lahirkan graduan berkualiti

Program lahirkan graduan berkualiti

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Dalam usaha memastikan graduan Sultan’s Scholar menjadi generasi penerus dan pelapis tampuk kepimpinan negara, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSSHB) menjalankan program perkembangan kualiti bagi penerima biasiswa tersebut.

Program bertemakan Mendapatkan Pemimpin Berkualiti Melalui Pembangunan Profesional Berkualiti itu disertai 14 orang penerima biasiswa Sultan’s Scholar yang baru menamatkan pengajian dan bercuti, mereka yang baru berkhidmat dan juga penerima tahun akhir pengajian. Program berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks YSHHB di ibu negara. Penolong Pengarah Urusan 3 YSHHB, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa dalam taklimat media mengenai program itu menjelaskan program itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Program Pre Departure untuk pelajar baru menerima biasiswa, kategori kedua pula Program Percutian bagi tahun pertama dan kedua penerima biasiswa.

Manakala kategori ketiga dan keempat pula, Program Graduan Baru bagi mereka yang baru menamatkan pengajian dan Program Perkembangan iaitu untuk bekas penerima skim biasiswa yang kini sedang berkhidmat dalam sektor awam.

Menurut Hajah Donnaliza lagi, program ini bertujuan memperluaskan pengetahuan pelajar, mempraktikkan ilmu yang dipelajari untuk diserapkan dalam kegiatan dan pendidikan yang mereka jalani.

Antara penerima skim biasiswa mendengar taklimat dari Jabatan Penerangan.
Antara penerima skim biasiswa mendengar taklimat dari Jabatan Penerangan.

Di samping itu, ia juga memberi peluang bagi pelajar untuk menimba pengalaman dan mengetahui selok-belok pelaksanaan jentera kerajaan dan swasta dalam konteks ‘Private Public Partnership’ serta menggilap kemahiran berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran bekerja dalam kumpulan.

Program ini juga melatih pelajar sebagai duta kecil YSHHB khasnya dan Negara Brunei Darussalam amnya di samping menimba ilmu dan memastikan penerima biasiswa ini cemerlang dalam pengajian seterusnya menjadi pemimpin yang berwibawa, pencetus ilmu, pemangkin kesarjanaan yang dihormati dan relevan kepada negara serta masyarakat global.

Menurut beliau lagi, program perkembangan Sultan’s Scholars mempunyai dua komponen, salah satu adalah ‘Brunei Leg’ yang mana pada asasnya melatih mereka untuk menjadi pemimpin-pemimpin pasukan, pasukan kerja berpasukan dan kepimpinan.

“Ia mempersiapkan mereka menjadi pemimpin dan mampu bekerja sebagai satu pasukan dan memperoleh keupayaan fizikal dan tahan lasak,” jelasnya. Penerima Skim ini juga mendengarkan taklimat dari Jabatan Penerangan, Kementerian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Melayu Islam Beraja (MIB) dan Majlis Mesyuarat Negara.